Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Pemuda disangka rusa mati ditembak


KENINGAU 7 Mei - Kerana disangkakan payau atau rusa, seorang pemuda maut dipercayai ditembak oleh saudaranya menggunakan `bakakuk' iaitu sejenis senjata buatan sendiri semasa berburu di kawasan hutan Kampung Nambayan Tambunan di sini kelmarin.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di Hospital Tambunan dekat sini pada pukul 7.15 malam.
Difahamkan, turut berburu bersama mangsa dan suspek ialah dua lagi rakan mereka yang memasuki kawasan hutan itu kira-kira pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Robert Salisip @ David berkata, mangsa, Libius Kibin, 35, dipercayai meninggal dunia akibat pendarahan kerana perjalanan jauh untuk sampai ke hospital iaitu dua jam berjalan kaki dan sejam lagi menaiki kenderaan.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang disangkakan rusa ditembak kira-kira pukul 3 petang dari jarak kira-kira 10 meter dan terkena di kedua-dua belah pahanya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.
Tambah Robert, siasatan lanjut mendapati `bakakuk' itu dijumpai oleh suspek pada Mei tahun lalu dalam karung yang ditinggalkan di tepi Jalan Dabata, Tambunan oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda bagi mengelak dikesan polis dalam satu sekatan jalan raya.
"Suspek mengambil dan menyimpannya sebelum menggunakan bagi tujuan memburu di kawasan hutan. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut, turut dirampas ialah dua laras `bakakuk', tiga butir peluru," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_08/Pemuda-disangka-rusa-mati-ditembak#ixzz315yV4mib
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment