Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

Pemandu, kelindan lori maut nahas


Seorang anggota bomba dan penyelamat menutup jenazah M Yushak Dahlan yang maut selepas lori yang dipandunya merempuh sebuah lori lain di Kilometer 211.4 Lebuhraya Plus arah utara berhampiran Alor Gajah, Melaka, semalam.
ALOR GAJAH 12 Mei - Seorang pemandu lori dan kelindannya maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori lain dalam kejadian di Kilometer 211.4, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah ke utara di sini awal pagi ini.
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu ialah pemandu, M. Yushak Dahlan, 64, dan kelindan, Kamarudin Ahmad, 45.
Bagaimanapun, pemandu sebuah lagi lori yang berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecede­raan dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Mohamad Laham berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan minuman yang dipandu M. Yushak terbabas sebelum melanggar bahagian belakang lori yang membawa bunga.
Menurutnya, akibat rempuhan yang kuat, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.
“Kemalangan yang berlaku di lorong kiri itu menyebabkan kedua-dua mang­sa meninggal dunia di tempat kejadian sejurus anggota Bomba dan Penyelamat dari Alor Gajah dan Ayer Keroh berjaya mengeluarkan mereka," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
Sehubungan itu katanya, kedua-dua lori yang terlibat telah ditahan untuk dibawa ke Puspakom dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II, Zulkarnain Abd. Halim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.30 pagi.
Sejurus menerima panggilan itu katanya, sebanyak tiga jentera dige­rakkan ke tempat kejadian iaitu dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan sebuah dari Ayer Keroh melibatkan 17 anggota.
Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa 10 minit sebelum dapat membawa keluar mangsa yang tersepit.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140513/je_01/Pemandu-kelindan-lori-maut-nahas#ixzz31Y8eVEid
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment