Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Pemandu bas pilih syabu kejar jumlah perjalanan


ANGGOTA AADK membuat ujian air kencing terhadap dua pemandu bas ekspres sambil diperhatikan oleh Saiful Azzri (tiga dari kiri) dan Aziz Musa (kanan sekali) ketika mengadakan operasi khas bas di stesen bas Terminal One, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid
SEREMBAN 30 April - Dadah sintetik jenis syabu dikenal pasti menjadi pilihan segelintir pemandu bas kerana beranggapan pengambilannya mampu memberi keupayaan kepada mereka untuk bekerja dalam tempoh panjang.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, trend itu amat ketara melalui hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap pemandu bas setiap kali operasi dilakukan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Dahulu sebelum wujudnya dadah sintetik ini, ramai pemandu bas didapati menggunakan ganja, namun kini trend itu telah beralih ke syabu.
“Penggunaan syabu amat popular kerana kesan ganja hanya bertahan dalam tempoh singkat, sedangkan mereka (pemandu bas) mengatakan kesan syabu membolehkan mereka bertahan dalam tempoh berjam-jam,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri operasi khas bas di stesen bas Terminal One di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Ketua Cawangan Pengesanan dan Pengawasan AADK negeri, Aziz Musa.
Jelasnya, dadah sintetik menjadi pilihan kerana dipercayai pemandu terbabit ingin mengejar jumlah perjalanan, sekali gus menambah pendapatan mereka.
Katanya, gejala itu amat membimbangkan kerana mendorong kepada risiko berlakunya kemalangan terutama melibatkan kenderaan bas yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.
“Kita amat memandang serius perkara ini kerana pengambilan sebarang dadah terlarang terutamanya melibatkan pemandu bas ini seperti memperjudikan nyawa penumpang.
“Mana-mana pemandu yang ditahan dan didapati mengambil dadah, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen pemanduan mereka,'' tegasnya.
Mengulas lanjut berhubung operasi khas berkenaan, Saiful Azzri memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 35 saman di atas pelbagai kesalahan terhadap syarikat dan pemandu bas dalam operasi yang dijalankan sejak 21 April hingga hari ini.
“Kesemua saman itu dikeluarkan melalui 114 buah bas yang diperiksa dalam tempoh berkenaan melalui operasi khas di stesen bas dan penyamaran anggota di dalam bas.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk aspek teknikal seperti cermin, tayar, lampu dan brek selain kegagalan pemandu mematuhi pematuhan jalan raya seperti merokok, menggunakan telefon bimbit serta memandu di lorong laju,'' katanya.
Sementara itu, Aziz memberitahu, daripada 299 pemandu yang diperiksa, tiga orang didapati positif syabu melalui ujian air kencing yang dijalankan.
“Ketiga-tiga pemandu yang berusia 30 hingga 45 ini telah ditahan dan mereka akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,'' ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140501/je_06/Pemandu-bas-pilih-syabu-kejar-jumlah-perjalanan#ixzz30Pbtzl34
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment