Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Pelajar Nigeria dan wanita tempatan didakwa tipu


30 April 2014

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar lelaki warga Nigeria dan wanita tempatan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menipu seorang pesara membabitkan wang tunai RM91,000 dua bulan lepas.
 
Augustine Osaro Igbinomwanhia, 26, dan L. Ratha Letchumy, 36, didakwa bersama-sama menipu dengan memperdaya Shahroldin Ali, 65, untuk mempercayai terdapat hadiah berbentuk barang dan wang tunai sebanyak 200,000 pound (RM1,098,000) sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM91,000 kepada mereka, sedangkan tertuduh tahu barang itu tidak wujud.
 
Ratha Letchumy, pembantu kedai runcit dan Igbinomwanhia didakwa melakukan kesalahan itu di No.9 Lorong Buluh Perindu 5, Taman Sa, Brickfields, di sini pada 10 pagi, 8 Feb lepas.
 
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat-syarat tambahan iaitu melaporkan diri dua minggu sekali di balai polis berhampiran terhadap Ratha Letchumy, manakala Igbinomwanhia tidak ditawarkan sebarang jaminan.
 
Peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab yang mewakili Ratha Letchumy dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM5,000 atas alasan penjamin kepada anak guamnya tidak mampu membayar jumlah yang ditawarkan pendakwaan kerana pendapatannya sebagai jurujual tidak tetap dan mempunyai tanggungan isteri serta dua orang anak.
 
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan wanita itu diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta perlu mematuhi syarat-syarat tambahan dan menetapkan 4 Jun untuk sebutan kes. - Bernama

No comments:

Post a Comment