Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Pelajar maut rempuh tiang elektrik

WARTAWAN SINAR HARIAN
Pelajar maut rempuh tiang elektrik
Keadaan motosikal ditunggang kedua-dua mangsa yang merempuh tiang elektrik di Jalan Bukit Merah, Gunung Semanggol.
1 Mei 2014
 GUNUNG SEMANGGOL - Seorang pelajar maut manakala rakannya cedera parah apabila motosikal ditunggang mereka merempuh tiang elektrik dalam kejadian di Jalan Bukit Merah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa, Nuratikah Ahmad ,12, maut di hospital akibat mengalami kecederaan parah di kepala, manakala rakannya, Noraisah Sharif, 14, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss, mengalami patah tangan kiri serta kaki kanan akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kedua-dua mangsa dipercayai menunggang motosikal tanpa mengenakan topi keledar dari rumah mereka di Bukit Merah, di sini ke Changkat Lobak.

Menurutnya, motosikal ditunggang mereka kemudiannya hilang kawalan, terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut namun salah seorang daripadanya yang merupakan pembonceng meninggal dunia pada jam 1.30 pagi semalam,” katanya kepada media di sini, semalam.

Mat Fauzi berkata, siasatan mendapati lokasi kejadian agak gelap dan pihaknya tidak menolak kemungkinan punca kemalangan disebabkan penunggangnya hilang kawalan ketika melalui jalan itu.

“Mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarga dan siasatan lanjut terhadap kes ini masih dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment