Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Pekerja kedai tayar tinggal sehelai sepinggang


1 Mei 2014


KUANTAN - Seorang warga Myanmar tinggal sehelai sepinggang dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah kedai tayar dan membaiki kenderaan di Jalan Beserah dekat sini, semalam.

Soemoethu, 23, pekerja di kedai itu berkata, ketika kejadian beliau hanya memikirkan untuk melarikan diri apabila melihat kedai itu dijilat api dan tidak sempat membawa sebarang harta benda miliknya termasuk dokumen pengenalan diri dan terus berlindung di stesen minyak berhampiran.
   
"Ketika itu saya sedang berehat di tingkat atas selepas kedai ditutup pukul 7 petang, tiba-tiba saya nampak api besar dari aras bawah kedai dan terus lari menyelamatkan diri ikut pintu belakang kedai.
   
"Saya sangat kesal kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang dari dalam kedai termasuk dokumen-dokumen penting termasuk barang peribadi milik saya," katanya kepada Bernama di sini, malam tadi.
   
Seorang lagi pekerja yang hanya dikenali sebagai Ah Long, 23, berkata, dia mendapat panggilan telefon dari rakan-rakannya yang mengatakan kedai tempat dia bekerja terbakar.
   
Sementara itu, pekerja stesen minyak, Ahmad Fakihuddin Yahya, 23, berkata dia dan rakan-rakannya yang ketika itu sedang sibuk melayan pelanggan tergamam ketika nampak api yang marak dan asap berkepul-kepul datang dari arah kedai tayar berkenaan pada pukul 10 malam.
   
Katanya walaupun stesen minyak itu beroperasi selama 24 jam namun atas faktor keselamatan dia mengambil keputusan untuk memberhentikan operasi pada 10.30 malam.
   
Empat jentera bersama 32 anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kuantan, Indera Mahkota dan Taman Tas dapat mengawal kebakaran pada 10.30 malam.  

Punca kebakaran masih disiasat. - Bernama

No comments:

Post a Comment