Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Pekerja dakwa penculik berbahasa Melayu


DUA anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkawal di sebuah pusat ternakan ikan dalam sangkar tempat seorang pelancong China diculik di Pulau Baik, Lahad Datu, Sabah, semalam.
LAHAD DATU 7 Mei - Kumpulan yang menculik seorang pengurus pusat ternakan ikan dalam sangkar di Pulau Baik, di sini awal pagi semalam dikatakan boleh bercakap dalam bahasa Melayu dengan lancar.
Menurut salah seorang pekerja pusat ternakan itu yang ingin dikenali sebagai Nus, 22, beberapa suspek terbabit bercakap dalam bahasa Melayu ketika ingin mengetahui lokasi pengurus mereka.
Malah, dia berkata, rakannya yang dibawa penculik sebelum dilepaskan turut mendakwa kumpulan penjenayah berkenaan mampu berbahasa Melayu dengan baik.
"Ketika menanyakan di mana bilik pengurus iaitu Yang Zai Lin, 34, suspek bercakap dalam bahasa Melayu dan mudah untuk difahami," katanya kepada pemberita ketika ditemubual di pusat ternakan ikan terbabit di sini hari ini.
Temubual itu dilakukan dari jarak empat meter apabila para wartawan berada di atas bot manakala Nus berada di atas jeti di hujung sangkar ikan. Dengan jarak itu, temubual tersebut dibuat dalam keadaan terjerit-jerit seperti orang sedang bergaduh.
Usaha Utusan Malaysia untuk menemubual secara dekat pengawal keselamatan itu gagal kerana dia enggan atas faktor-faktor tertentu.
Pusat ternakan itu kini berada dalam zon larangan untuk dilawati apabila lokasi tersebut diletak pita keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam tinjauan itu, terdapat beberapa ekor anjing besar dipercayai jenis Rottweiler diletakkan dalam kawasan pusat ternakan itu.
Tambah Nus, ketika kejadian dia sedang tidur selepas selesai bekerja pada lewat petang dan hanya mengetahui kejadian itu pada pukul 5 pagi.
"Mangsa (Zai Lin) seorang individu yang baik dan sentiasa menghormati para pekerja. Kita amat terkejut dengan kejadian ini dan berharap beliau dapat dibebaskan dengan selamat," katanya yang telah bekerja selamat empat tahun di pusat ternakan berkenaan.
Pusat Ternakan ikan dalam sangkar Wonderful Terrace Sdn. Bhd., menternak lima jenis ikan seperti ikan kerapu, ikan putih, ikan merah yang dieksport kira-kira 40 tan setiap dua kali setahun ke Hong Kong serta China.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_10/Pekerja-dakwa-penculik-berbahasa-Melayu#ixzz3160xnDZa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment