Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Pecah ATM kosong


Empat penjenayah hanya mampu menikmati bekas kosong mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) sebuah kios bank berhampiran sebuah masjid di Bandar Baru Sentul apabila disahkan dalam mesin itu tiada wang tunai.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi semalam itu, empat lelaki terbabit memotong pintu ATM menggunakan alat pemotong oxy dalam usaha mendapatkan wang tunai dari dalam mesin itu.

Walaupun berjaya mengeluarkan bekas wang dalam mesin itu, namun tiada wang tunai diletakkan dalam mesin berkenaan sejak 24 April lalu Terdapat dua mesin dalam kios itu iaitu deposit tunai dan mesin ATM.

Kumpulan terbabit turut menyembur cat biru pada kamera litar tertutup (CCTV) dalam kios itu bagi mengelakkan identiti mereka dikesan.



Mereka juga membakar mesin berkenaan dalam usaha mengeluarkan bekas wang berkenaan.

Sejurus memecahkan mesin itu, semua lelaki itu melarikan diri bersama bekas wang mesin berkenaan menggunakan kereta Proton Saga.

Nombor pendaftaran kereta berkenaan dicam saksi sebelum memaklumkan kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, berdasarkan maklumat nombor pendaftaran kereta digunakan suspek, pihaknya menyerbu sebuah rumah di sini.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati pemilik kenderaan itu langsung tidak mengetahui mengenai kejadian berkenaan, malah kereta miliknya juga tidak keluar dari rumah sejak 24 jam lalu.

“Ini membuktikan nombor pendaftaran digunakan suspek adalah nombor klon.

Kami juga dimaklumkan mesin ATM dipecahkan itu tiada wang di dalamnya,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, pihaknya akan terus mengesan semua suspek berdasarkan maklumat awam dan bantuan CCTV.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

No comments:

Post a Comment