Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Pasangan guru didakwa bunuh bayi perempuan berusia 14 bulan


Kiri Tan Kok Shoo, Tan Yean Siang
MUAR 30 April - Sepasang suami isteri yang merupakan guru sukarela, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang bayi perempuan berusia 14 bulan dipercayai akibat dihenjut berulang kali sehingga menyebabkan kepala mangsa terhantuk ke lantai, pertengahan bulan ini.
Tan Yean Siang, 35, dan isteri, Tan Kok Shoo, 39, didakwa membunuh Lim Yunn Jia di rumah sewa mereka di Jalan Omri di sini antara pukul 6.30 petang, 16 April dan pukul 9.30 pagi, 17 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dibacakan kepada kedua-dua tertuduh dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa namun tiada pengakuan direkodkan.
Majistret Firdaus Md. Isa menetapkan sebutan semula kes pada 27 Mei ini sementara menunggu laporan ujian kimia serta bedah siasat terhadap mangsa diperoleh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, A. Shaarmini manakala pasangan tersebut tidak diwakili peguam bela.
Ibu bapa mangsa bersama keluarga mereka turut hadir mengikuti prosiding tersebut.
Utusan Malaysia pada 24 April lalu melaporkan sepasang guru sukarela ditahan polis pada 18 April lalu bagi membantu siasatan kematian seorang bayi di bawah jagaan mereka.
Difahamkan, guru lelaki yang juga rakan ibu bapa mangsa menghantar bayi berkenaan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini pada pukul 6.40 pagi, 18 April lalu dan mendakwa bayi berkenaan dalam keadaan lemah.
Malangnya, pemeriksaan mendapati bayi itu sudah meninggal dunia sebelum bedah siasat menemui beberapa kesan lebam di kaki dan tangan serta pendarahan teruk di kepala.
Polis kemudian menahan pasangan itu di rumah mayat HPSF bagi membantu siasatan dan tertuduh lelaki mengaku menghenjut mangsa sambil memegang kaki bayi tersebut berulang kali sehingga menyebabkan kepalanya terhantuk ke lantai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140501/ma_03/Pasangan-guru-didakwa-bunuh-bayi-perempuan-berusia-14-bulan#ixzz30Pd7IWvH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment