Search This Blog

Friday, May 30, 2014

Mr. Bean selamatkan pemandu kereta McLaren F1



ATKINSON dilihat membawa serpihan kereta McLaren F1 yang tercabut selepas ia terlanggar sebatang pokok di Tuscany, Itali. - Agensi


TUSCANY, Itali - Pelakon komedi terkenal, Rowan Atkinson yang sering melakonkan watak lelaki dungu dan sering menimbulkan masalah, menyelamatkan seorang pemandu kereta sport mewah McLaren F1, lapor portal The Telegraph kelmarin.
Dalam kejadian di sebatang jalan raya di sini, Selasa lalu itu, pemandu yang menyertai konvoi permotoran tersebut terbabas sebelum melanggar sebatang pokok.
Menurut laporan, pelakon yang popular dengan nama Mr. Bean itu merupakan antara yang pertama berada di tempat kejadian bagi membantu pemandu berkenaan yang merupakan seorang ahli perniagaan kaya warga Amerika Syarikat.
Sewaktu kejadian, Atkinson yang juga memandu kereta jenis sama kebetulan melalui kawasan kejadian sebelum menyedari terdapat kemalangan di situ.
Aktor berusia 59 tahun itu telah bertindak memberikan bantuan dengan menelefon pihak polis Itali dan juga anggota bomba. Pemandu kereta itu telah dikejarkan ke sebuah hospital di Pisa dan dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Atkinson yang memiliki jumlah harta kekayaan bernilai £71 juta (RM381 juta), memiliki kereta McLaren F1 yang dibeli dengan harga £640,000 (RM3.4 juta) pada tahun 1997. Dia pernah mengalami kemalangan ketika memandu kereta itu berdekatan dengan rumahnya di Northamptonshire pada 2011. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0530&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz339V0HqXO 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment