Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Misteri bau busuk terjawab

ROSALWANI CHE SOH
Misteri bau busuk terjawab
Mayat mangsa diangkat ke dalam trak polis sebelum dihantar ke hospital untuk bedah siasat. 
30 April 2014
KOTA BHARU - Misteri bau busuk dalam semak di Kampung Paya Senang, Telipot, di sini terjawab apabila penduduk menemui mayat seorang lelaki hampir reput, di sini, malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Paya Senang, Wan Nordi Wan Mohamad, 58, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu daripada seorang penduduk, Shariman Samlang, 13, yang memberitahu mengenai penemuan mayat tersebut.

“Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pintu Geng itu beritahu saya, dia ada tercium bau busuk ketika lalu di kawasan berkenaan untuk mengambil wau yang jatuh di situ.

“Selepas dimaklumkan tentang kejadian itu pada kira-kira jam 8.30 malam, saya bergegas ke tempat kejadian,” katanya kepada media ketika ditemui, semalam.

Wan Nordi berkata, sebelum ini tiada penduduk yang merungut dengan bau busuk di kawasan terbabit, namun hanya disedari pelajar tersebut yang lalu di kawasan itu.

“Semasa tiba di kawasan kejadian, saya nampak ada mayat lengkap berpakaian dan terus menghubungi polis.

“Apa pun, saya serahkan kes ini kepada polis untuk membuat siasatan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, mayat dijumpai dalam keadaan mengiring, berbau dan berulat.

“Dianggarkan mayat lebih daripada 10 hari dan wajahnya tidak dapat dicam kerana hampir reput, hanya menampakkan rahang.

“Mayat dipercayai seorang lelaki berdasarkan bentuk fizikal dan ditemui berpakaian lengkap seluar jeans panjang dan baju T warna gelap," katanya.

Azham berkata, hasil siasatan, polis menemui bungkusan berwarna biru dalam poket seluar sebelah kanan mayat bersama straw berangkai yang dipercayai digunakan untuk mengisi pil kuda, namun tiada pil kuda ditemui dalam rangkaian straw berkenaan.

“Tiada kesan kecederaan pada luar badan mayat ditemui kerana keadaan mayat yang mereput menyukarkan usaha melihat sebarang kesan kecederaan.

“Kes ini diklafikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya.

No comments:

Post a Comment