Search This Blog

Friday, May 30, 2014

Menyelam dalam lumpur elak ditahan


Petaling Jaya: Taktik seorang kaki judi menyelam dalam takungan lumpur untuk mengelak dicekup polis tidak menjadi apabila dia ditemui kira-kira 15 minit kemudian.

Lelaki itu bersama lapan rakannya yang lain bertempiaran lari ke dalam kawasan semak berhampiran sebaik lokasi perjudian mereka di sebuah rumah kongsi di Kota Damansara diserbu polis, kelmarin.


Dalam serbuan jam 11 malam yang dilakukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu seorang anggota polis dilaporkan mengalami kecederaan ketika mengejar suspek di dalam semak.



Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan mendapati dua penganjur aktiviti perjudian itu pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan sama.


“Lebih 30 pekerja kontrak berada di lokasi kejadian ketika serbuan dan pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki warga Bangladesh dan enam warga Indonesia yang berjudi itu tidak mempunyai permit,” katanya.


Beliau berkata, risikan mendapati kegiatan judi bola itu dilakukan setiap malam dengan bayaran permulaan taruhan adalah serendah RM1 hingga mencecah RM1,000.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

No comments:

Post a Comment