Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Menggelupur atas tanah


“Saya tak sedap hati apabila selepas tiga kali panggilan masih tidak disahut lalu segera turun bagi melihat keadaannya sebelum mendapati dia menggelupur kesakitan akibat terjatuh selain turut disengat lebah, “kata Nazer Abu Bakar, 51, rakan kepada Ramli Lin, 52, yang maut selepas terjatuh dari ketinggian 20 meter ketika menuruni pokok tualang selepas mengambil madu lebah, semalam

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa dikatakan memasuki kawasan Hutan Bukit Salak Estate, Singkir Genting, dekat sini, bersama enam rakannya bagi mengambil madu lebah di pokok berkenaan yang ketinggiannya melebihi 60 meter.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan terjatuh ketika menuruni pokok itu selepas diserang sekumpulan lebah menyebabkannya terlepas pautan lalu terjatuh ke tanah.

Nazer berkata, dia memanjat pokok berkenaan bersama mangsa manakala empat rakan lain hanya menunggu di bawah dan mereka menurunkan empat daripada 16 sarang lebah ketika itu.

Katanya, secara tiba-tiba arwah memberitahu dia mahu turun ke bawah kerana tidak tahan disengat lebah sejurus selesai menurunkan empat sarang berkenaan.

“Selepas beberapa minit arwah turun, saya cuba memanggil namanya tiga kali, namun tidak bersahut menyebabkan timbul perasaan tidak sedap hati.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya segera turun dan mendapati dia menggelupur di atas tanah dalam keadaan mengiring, manakala tubuhnya bengkak akibat penuh dengan kesan sengatan lebah, tetapi masih bernafas.

“Saya terus menjerit memanggil rakan lain dan berusaha membawanya keluar, tetapi selang beberapa minit, kami mendapati dia sudah meninggal dunia dan kami menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.



Mayatnya dibawa Hospital Yan, “ katanya ketika ditemui Bilik Mayat Hospital Yan, di sini, semalam.

Menurutnya, hampir 10 tahun rakannya itu berniaga madu lebah, malah arwah memang dikenali sebagai pakar dalam memanjat pokok.

“Arwah pakar dalam memanjat pokok dan pernah bergurau dengan kami bahawa dia mungkin mati jatuh pokok suatu hari nanti kerana sering melakukan aktiviti berkenaan.

“Tak sangka gurauannya benar-benar menjadi kenyataan dan kami kini hilang rakan yang sangat mahir dalam bidang ini,” katanya.

Difahamkan, Ramli berasal daripada Kampung Belau, Merbok, tetapi kini menetap di Betong, Thailand bersama isteri ketiga selepas berpisah dengan isteri pertama dan kedua 20 tahun lalu.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Yan berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman seperti patah tulang rusuk kiri dan kanan selain mempunyai kesan 100 sengatan lebah.

Jenazah Ramli dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Masjid Lama Merbok, Sungai Petani selepas solat Zohor semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

No comments:

Post a Comment