Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Menanti keajaiban


Satu-satunya harapan terbaik untuk ibu bapa mangsa penculikan militan Boko Haram setakat ini ialah menunggu keajaiban berlaku.

Selain itu apa yang ada untuk membantu cuma ‘hashtag’ di laman sosial media baru.

Lebih tiga minggu selepas pelampau yang menggunakan nama Islam melarikan lebih 300 kanak-kanak perempuan dari kawasan terpencil di timur laut Nigeria, kemarahan dunia terpancar pada kenyataan dibuat di rangkaian media sosial seperti Twitter dan Facebook.



Namun pemerhati mempertikaikan sama ada langkah itu akan bertahan atau sejauh mana ia dapat mendorong pihak berkuasa bertindak menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

Sebelum ini polis mengesahkan 276 kanak-kanak ditahan militan Boko Haram dan ia kurang mendapat perhatian sehingga ‘kempen’ #BringBackOurGirls atau yang seumpamanya dimulakan.


Pemimpin Persatuan Mahasiswa Pan-Afrika Universiti Rochester, Fayokemi Ogunmola berkata, sekurang-kurangnya kini orang ramai mula memberi perhatian serius kepada kejahatan Boko Haram.


Kata Ogunmola, dia mula mengikuti perkembangan di Nigeria itu sejak 15 April lalu tetapi minat mendalam ditunjuk rakannya hanya selepas ‘kempen’ #BringBackOurGirls disebar dengan meluas.

“Memang bagus media sosial bersikap begitu tetapi matlamat mutlak kita ialah menyelamatkan kanak-kanak terbabit,” katanya.

Lebih 2.1 juta ‘tweet’ menggunakan ‘hashtag’ itu dipos pengguna Twitter setakat ini.

Pada peringkat awal, kata firma penganalisis Topsy, minat orang ramai terhadap tragedi di Nigeria itu agak rendah sehinggalah selebriti - termasuk Chris Brown - mengepos mesej mengenainya dan disebar dengan meluas.

Wanita Pertama AS, Michelle Obama juga menunjukkan keprihatinannya kepada isu itu dengan mengepos tweet dan diulang sebar lebih 53,000 kali.

Profesor politik di Universiti Nova Southeastern, G Nelson Bass III bimbang kecenderungan semasa pengguna media sosial berlangsung tanpa maklumat yang sepatutnya.

“Saya khuatir kempen ini tidak banyak mendidik orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

No comments:

Post a Comment