Search This Blog

Monday, May 26, 2014

Memang wanita berani!


Dungun: “Mereka mengancam nyawa saya sekeluarga dan wajar diajar,” kata seorang wanita berusia 36 tahun yang bertindak mengejar dua penyamun dan melanggar mereka hingga cedera di Jalan Lapangan Terbang, di sini, kelmarin.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, sebelum kejadian, dia membawa anak berusia empat tahun yang demam ke sebuah klinik di Kuala Dungun, di sini, sambil ditemani dua lagi anak, jam 4 petang.

Katanya, ketika kejadian suaminya yang bekerja dengan sebuah syarikat minyak bertugas di luar negara dan apabila dia pulang ke rumah dia terkejut mendapati pintu pagar terbuka serta sebuah motosikal Honda EX5 berada di dalam garaj.

“Curiga dengan keadaan itu, saya meninggalkan anak di dalam kenderaan dan berlari masuk ke dalam rumah selepas pintu jeriji depan terbuka sebelum terdengar suara dua anak berusia tujuh dan 11 tahun yang tidak ikut bersama ke klinik bercakap dengan seorang lelaki di dalam sebuah bilik.

“Pada masa sama, saya membuka pintu bilik tidur saya pula dan tiba-tiba muncul seorang penyamun dari bilik menerpa menyebabkan saya melarikan diri,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak sempat keluar meminta bantuan selepas ditarik penyamun terbabit yang bertindak meletakkan sebilah parang di lehernya sambil meminta dia diam jika tidak mahu dicederakan, manakala seorang lagi penyamun bertindak menyelongkar barangan di dalam rumah.

“Selepas 20 minit menyelongkar dan berjaya melarikan wang tunai RM1,300, dua komputer riba, dua jam tangan dan alat permainan yang kesemuanya bernilai RM12,000, kedua-dua penyamun itu melarikan diri dengan motosikal Honda EX5.

“Berang dengan tindakan itu, saya mengejar mereka dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova sejauh hampir satu kilometer sebelum melanggar motosikal itu menyebabkan mereka jatuh tergolek di tepi jalan.

“Kedua-kedua penyamun yang cedera bangun dan mengacukan parang ke arah saya, namun saya memusingkan kenderaan dan sekali lagi melanggar mereka sebelum kedua-duanya melarikan diri,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26

No comments:

Post a Comment