Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Memandu guna telefon bimbit


KUALA LUMPUR 30 April - Menggunakan telefon bimbit ketika sedang memandu menjadi kesalahan serius terbanyak yang dikesan dilakukan oleh pemandu bas ekspres dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) pada musim perayaan, sejak tiga tahun lepas.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad (gambar), ia terbukti apabila sebanyak 122 kes menggunakan telefon bimbit dicatatkan daripada 486 kesalahan keseluruhan yang direkodkan pihaknya sepanjang Op Tahun Baharu Cina dan Op Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh tersebut.
Beliau berkata, kesemua kesalahan itu diperoleh hasil penyamaran yang dilakukan pegawainya sepanjang operasi.
"Kita anggap kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu serius kerana risiko untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya adalah tinggi.
“Kesalahan serius lain yang direkodkan ialah memotong di garisan berkembar (21 kes), melanggar syarat permit atau lesen (17 kes), memandu di lorong laju (10 kes), kesalahan berkaitan Lesen Memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam dan Lesen Memandu Kompeten (10 kes), memandu di lorong kecemasan (2 kes) dan kesalahan berkaitan Lesen Kenderaan Motor (1 kes). Kesalahan selebihnya melibatkan kelakuan pemandu (72 kes) dan lain-lain (231 kes).
"Untuk tahun 2012 dan 2013, kesalahan itu direkodkan semasa Op Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri, sementara pada tahun ini hanya untuk Op Tahun Baharu Cina sahaja," katanya.
Mengulas mengenai teknik penyamaran yang dijalankan JPJ, Ismail tidak menolak kemungkinan bahawa langkah tersebut adalah yang terbaik setakat ini bagi mengesan setiap salah laku oleh pemandu bas.
“Apabila kami menghebahkan tentang taktik penyamaran ini, ramai pemandu bas mengambil sikap berhati-hati ketika memandu di musim perayaan kerana takut untuk dikenakan tindakan.
“Kita akui ini adalah strategi terbaik JPJ setakat ini dan kita akan mengekalkan aktiviti penyamaran ini bukan sahaja di musim perayaan tetapi pada waktu-waktu biasa," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Ismail menjelaskan, statistik 20 peratus dari 1,793 pemandu bas yang tidak mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) tidak membabitkan bas ekspres sahaja sebaliknya bas-bas awam untuk kegunaan lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140501/je_05/Memandu-guna-telefon-bimbit#ixzz30PbdfXpy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment