Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Melekat pada pintu kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
Melekat pada pintu kereta
Ahmad Saiful Asyraf
29 April 2014
 DUNGUN - “Saya nampak Perodua Myvi itu buat pusingan U, tiba-tiba ada motosikal dari arah belakang langgar, penunggang dan pemboncengnya lekat pada pintu kereta lalu diseret sebelum langgar tiang dan dua mangsa itu kemudiannya terjatuh.”

Demikian kata Wan Zirina Wan Sagar, 28, salah seorang saksi kejadian kemalangan yang meragut nyawa  seorang remaja di sini, petang kelmarin.

Kemalangan kira-kira jam 4.45 petang di Kilometer 93.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi dipandu Mohd Zulain Azmi, 24, dari arah Paka menuju ke Kuantan tiba-tiba membuat pusingan U.

Pada masa sama, sebuah motosikal dinaiki dua remaja, Ahmad Saiful Asyraf Aminuddin, 19, dan Syed Adaham S. Azhar, 19, dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar sebelah kanan Perodua Myvi terbabit sebelum kedua-duanya melekat pada bahagian pintu.

Kedua-dua mangsa kemudiannya dikatakan diseret sejauh kira-kira lima meter sebelum Perodua Myvi berwarna perak itu melanggar tiang sehingga mangsa terjatuh.

Ahmad Saiful Asyraf yang berasal dari Jeram Beserah Kuantan mati di tempat kejadian akibat patah leher serta kecederaan parah pada keseluruhan badan, manakala rakannya Syed Adaham patah paha kiri dan tangan kanan sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Beserah menuju ke tempat pengajiannya di Chendering selepas menghabiskan cuti hujung minggu.

Pemandu Perodua Myvi, Mohd Zulain Azmi, 24, berasal dari Limbong Paka bagaimanapun hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob ketika mengesahkan kejadian berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan punca kematian.

“Kes kemalangan itu masih dalam siasatan pihak kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment