Search This Blog

Saturday, May 31, 2014

Mayat berbau ditemui di Blok A Flat Bijangga


DUNGUN 30 Mei - Tanda tanya berhubung bau busuk yang menerawang sekitar beberapa unit kediaman di Blok A, Flat Bi-jangga, di sini terjawab dengan penemuan mayat seorang lelaki tengah hari ini.
Mayat Abdul Wahab Shamsuddin, 50, ditemui terlentang dalam keadaan berbogel dan dia yang tinggal bersendirian dipercayai telah meninggal lebih tiga hari lalu.
Mangsa yang dikatakan tidak bekerja, lebih gemar berkurung dan kurang bergaul dengan penduduk setempat difahamkan menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.
Seorang penduduk, Yuslizan Mohd Yusof, 37, memberitahu, dia yang menyedari bau busuk datang dari rumah tersebut cuba memanggil mangsa berulang kali agar membuka pintu namun tidak bersahut.
"Curiga dengan keadaan itu, saya dan rakan-rakan bertindak menendang pintu rumah mangsa dan mendapati seorang lelaki terbaring di atas lantai di ruang tamu," ujarnya.
Menurut Yuslizan, sebelum itu beberapa penduduk yang tinggal berhampiran kediaman mangsa memaklumkan kepadanya berhubung bunyi air berterusan di rumah mangsa sejak beberapa hari lalu.
"Setelah pintu rumah dikunci dari dalam, kami tiada cara lain selain daripada bertindak menendang pintu masuk dan mendapati jenazah mangsa ketika itu sudah berbau busuk," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, mangsa tinggal bersendirian di situ sejak beberapa tahun lalu dan tidak bergaul dengan jiran tetangga sebaliknya lebih gemar berkurung di dalam rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.
Katanya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum membawa mangsa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
Pihak polis percaya mangsa meninggal sejak beberapa hari lalu berikutan keadaan mayat yang sudah bengkak dan berbau.
Katanya, siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140531/je_03/Mayat-berbau-ditemui-di-Blok-A-Flat-Bijangga#ixzz33F30FTfc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment