Search This Blog

Friday, May 30, 2014

Maut tayar tercabut


Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Akibat tayar rosak hingga tertanggal, pemandu sebuah treler membawa muatan asid hidroklorik terbunuh apabila kenderaan berkenaan terbalik menyebabkan dia tersepit di tempat duduk di kilometer 126.9 Lebuhraya Utara- Selatan berhampiran Plaza Tol Bertam di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Lam Thin, 61, manakala kelindannya, warga Bangladesh, terselamat.


Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, treler berkenaan terbabas ke bahu jalan.



“Ketika sampai di lokasi kejadian tayar belakang sebelah kanan treler berkenaan rosak hingga tertanggal menyebabkan ia gagal dikawal sebelum melanggar besi penghadang jalan dan terbalik.


“Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu maut di lokasi kejadian manakala kelindannya, cedera ringan di kepala,” katanya.


Abdul Rahman berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Shoki Hamzah berkata, seramai 24 anggota termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.


“Treler berkenaan membawa 11 tong asid berkepekatan tinggi dan pemeriksaan awal dilakukan mendapati dua daripadanya bocor menyebabkan asid tumpah ke atas jalan yang membahayakan kenderaan melalui kawasan berkenaan.

“Pasukan HAZMAT memindahkan tong mengandungi asid itu sebelum melakukan kerja membersihkan tumpahan yang dikesan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.


Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan asid berkenaan berjaya diselesaikan jam 9 pagi dan semua tong bahan berbahaya itu dipindahkan ke tempat selamat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

No comments:

Post a Comment