Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Lima nelayan hanyut diselamatkan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Lima nelayan hanyut diselamatkan
Lima nelayan Tumpat yang hanyut di lautan selepas bot mereka mengalami kerosakan enjin diselamatkan Maritim di Tok Bali, semalam. Gambar kecil: Arifin. 
29 April 2014
PASIR PUTEH - Lima nelayan dari Tumpat yang hanyut selama enam hari di Laut China Selatan akibat enjin bot mereka mengalami kerosakan berjaya diselamatkan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim), semalam.

Kelima-lima mereka dibawa ke Jeti Operasi Maritim di Tok Bali dekat sini, selepas ditemui kira-kira 116 batu nautika dari Pantai Tok Bali menerusi operasi mencari dan menyelamat.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tok Bali (DM10), Kepten Maritim Wan Burhanuddin Jusoh berkata, sebaik menerima maklumat daripada keluarga mereka yang dihubungi pihak petugas pelantar minyak, KM Amanah diarah melancarkan gerakan mencari dengan mengambil masa 18 jam sebelum menemui bot Zon A bernombor pendaftaran TFA 714, kira-kira tiga batu nautika dari pelantar minyak Bunga Raya.

“KM Amanah berjaya mengesan bot nelayan terbabit berhampiran pelantar minyak Bunga Raya, kira-kira lima batu nautika dari sempadan perairan Malaysia-Vietnam.

"Kita cuba memberi bantuan teknikal untuk membaiki enjin tetapi menemui kegagalan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, bot nelayan terbabit yang dikatakan mengalami kerosakan enjin pada 22 April lalu terpaksa ditunda ke jeti yang mengambil masa selama 18 jam ke muara Tok Bali.

Menurutnya, kerja membaiki peralatan dan enjin dilakukan semalam, berhampiran pangkalan operasi sebelum kesemua mereka dibenarkan pulang ke pantai Tumpat.

Kesemua mangsa yang terdiri daripada tekong bot, Arifin Harun, 61, dan awak-awak, Mohamad Sabri Arifin, 27; Abdul Azid Saleh, 54; Che Harun Che Mod, 42, serta  Mohamad Sulaiman, 70, masing-masing dari Kampung Tanjung Dat dan Tanjung Che Mas, Tumpat, selamat.

Arifin ketika ditemui berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Maritim yang memberi pertolongan selepas mereka gagal mendapatkan simpati beberapa bot nelayan Vietnam yang tidak mengendahkan isyarat kecemasan bagi mendapatkan bantuan.

“Kami bernasib apabila masalah kami disedari pihak pelantar minyak dengan memberi pelbagai bentuk bantuan termasuk menghubungi pihak keluarga di kampung halaman selepas telefon bimbit kami tidak berfungsi kerana hanyut di kawasan luar liputan rangkaian,” katanya.

Rakannya, Mohamad pula berkata, kejadian itu adalah pengalaman pertama dalam hidupnya sejak 30 tahun menjadi nelayan.

Menurutnya, kejadian tersebut  tidak disedari anggota keluarga di rumah kerana lazimnya mereka akan kembali ke pangkalan dengan hasil tangkapan selepas tujuh hari keluar ke laut.

“Kami hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT kerana tiada apa yang boleh kami lakukan dan akhirnya kami diselamatkan sebelum kehabisan bekalan makanan serta minuman,” katanya.

No comments:

Post a Comment