Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

'Lepas dengan jaminan polis'


2014/05/10 - 04:21:49
'Lepas dengan jaminan polis'
Suspek dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, Sepang, semalam. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sepang: Wanita yang mencetuskan kekecohan dalam pesawat Malindo Air OD1622 Selasa lalu, dilepaskan dengan jaminan polis, apabila tempoh tahanan reman tiga hari tamat semalam.

Suspek berusia 41 tahun itu ditahan kerana mencetuskan kekecohan sebelum pesawat yang menuju ke Kuching, Sarawak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mahu berlepas jam 2.20 petang berkenaan.


Wanita itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang pada hari berikutnya, di mana perintah reman tiga hari dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret dan Sesyen Sepang, Rozaidi Yaacob, mengikut Seksyen 117, Kanun Tatacara Jenayah.

Pada hari kejadian, suspek diserahkan kepada polis sekitar jam 6.05 petang, selepas dikatakan mengeluarkan perkataan berunsur ugutan selain mendakwa ada bom di dalam pesawat berkenaan.

Difahamkan, suspek bertindak demikian kerana berang dengan arahan pramugari bertugas yang meminta beliau meletakkan beg yang diletak di hujung kakinya supaya ditempatkan di ruang bagasi disediakan.

Kejadian itu menyebabkan pesawat berlepas dua jam lewat daripada jadual asal bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan bagasi terlebih dulu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Zaldino Zaludin, ketika dihubungi semalam, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan. Suspek akan dipanggil bila-bila masa bagi proses pertuduhan.
Malah, tambah beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan mengumpul bukti kukuh mengenai kes berkenaan bagi tujuan pendakwaan.

Ketika suspek dibawa keluar dari lokap Mahkamah Majistret dan Sesyen Sepang di sini semalam, beliau dilihat turut membawa bersama empat beg pakaian termasuk sebotol air zam zam dan set al-Quran digital.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah dan jika bersabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment