Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

Lelaki ditahan bantu siasatan kes simbah asid


ALOR SETAR 9 Mei - Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes simbah asid ke atas sepasang suami isteri dan seorang murid lelaki berusia lapan tahun di sebuah gerai nasi lemak di Jalan Tanah Merah semalam.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad berkata, lelaki itu ditahan di sekitar pekan Langgar di sini hasil maklumat awam dan risikan polis.
“Suspek lelaki berketurunan Melayu itu akan direman mulai hari ini bagi membantu siasatan. Selebihnya saya tidak boleh dedahkan kerana bimbang mengganggu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian semalam, Shamsudin Samat, 60, dan isterinya, Fatimah Syafie, 46, melecur di muka dan badan akibat disimbah bahan kimia dipercayai cuka getah oleh dua lelaki yang tidak dikenali ketika berniaga nasi lemak kira-kira pukul 7 pagi.
Pelanggannya, Abdul Hakim Wafi Abdul Razak, 8, turut melecur tiga peratus di kanan muka akibat terkena simbahan asid berkenaan.
Sementara itu, anak ketiga Fatimah, Mohd. Fairuz Azim Osman, 25, memberitahu, bapa tirinya masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah sementara ibunya sudah dibenarkan keluar tengah hari ini.
“Ibu masih trauma dan ketika ini beliau tinggal bersama abang di Simpang Empat, dekat sini sementara menanti semangatnya pulih.
“Begitu pun, doktor meminta kami membawa ibu ke hospital dua hari sekali untuk mendapatkan rawatan susulan selain memberinya ubat," katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada Abdul Hakim Wafi, Nazriah Abdul Rahman, 41, bersyukur apabila laporan doktor mengesahkan bahawa mata anaknya tidak langsung terjejas dengan kejadian itu.
“Wafi masih terkejut dengan kejadian itu namun tidurnya semalam lena dan dia tampak kembali aktif dan ceria.
“Saya berterima kasih pada semua yang mendoakan Wafi. Tentang pelakunya itu, saya percaya kepada kecekapan polis dan amat berharap agar suspek ditangkap secepat mungkin agar perkara sebegini tidak terjadi pada orang lain," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140510/je_05/Lelaki-ditahan-bantu-siasatan-kes-simbah-asid#ixzz31GSqx8w3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment