Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Lelaki didakwa tipu majikan RM50,393


KUALA LUMPUR 7 Mei - Seorang bekas jurujual telefon bimbit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 14 pertuduhan menipu majikannya membabitkan kerugian berjumlah RM50,393 dua tahun lalu.
Peh Swee Kim, 28, yang kini bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Borong Selayang, didakwa menipu syarikat Asia Mobile Supplies Sdn. Bhd., untuk mempercayai terdapat 14 invois tempahan yang bernilai antara RM885 dan RM12,840.
Invois itu didakwa diterima daripada beberapa buah syarikat yang tidak akan menyerahkan barang tempahan seperti invois itu kepada tertuduh sekiranya tidak diperdayakan.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di syarikat Asia Mobile Supplies, Tingkat 1, Plaza Low Yat, Off Jalan Bukit Bintang di sini antara 15 Mei 2012 dan 10 Januari 2013.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad yang mengendalikan pendakwaan menawarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan.
Walau bagaimanapun, peguam Mohd. Riza Zakaria memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan bapa tunggal yang menanggung seorang anak berusia sembilan tahun di samping menanggung ibu dan bapanya yang telah uzur serta dua adik yang masih bersekolah.
Hakim Mat Ghani Abdullah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Jun ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140508/ma_06/Lelaki-didakwa-tipu-majikan-RM50393#ixzz315xXoYca
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment