Search This Blog

Monday, May 26, 2014

Lelaki bunuh 6 orang gara-gara cinta ditolak


CALIFORNIA 25 Mei - Kecewa kerana cintanya sering ditolak banyak wanita dipercayai menjadi punca seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) mengamuk dan membunuh sekurang-kurangnya enam orang, sebelum bertindak membunuh diri sendiri tidak lama kemudian dalam satu kejadian di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian itu, Elliot Rodger anak kepada seorang pembantu pengarah filem Hollywood sempat memuat naik video berbentuk ugutan di laman perkongsian video YouTube tentang hasratnya untuk menyerang wanita-wanita yang menolak cintanya.
Rodger selepas itu bertindak menikam hingga mati tiga individu di sebuah apartmen tempat dia tinggal, sebelum dia menembak mati tiga orang lagi mangsa di bandar Isla Vista berhampiran kampus Universiti California di Santa Barbara.
Sekurang-kurangnya 13 orang ce­dera dalam serangan itu termasuk lapan daripada mereka terkena tembakan yang dilepaskan oleh Peter Rodger, anak kepada pembantu pengarah filem blokbuster 2012, The Hunger Games.
Rodger melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai di bandar itu, ketika memandu kereta BMW dan ketika berjalan kaki, sebelum dia me­nembak dirinya sendiri selepas berlaku tembak menembak dengan polis.
Pihak berkuasa menemui tiga senjata separa automatik iaitu dua laras senjata Sig Sauers dan sepucuk Glock, serta lebih 400 butir peluru yang masih belum digunakan di dalam kereta pemuda itu.
Dalam video itu, seorang pemuda yang polis percayai sebagai Rodger mengadu terlalu kesunyian dan cintanya sering ditolak oleh beberapa orang wanita dan merancang untuk membunuh mereka yang dipercayai menolak cintanya itu.
‘‘Ia jelas sekali kerja seorang lelaki gila,’’ kata Syerif Bill Brown pada sidang media tentang kejadian itu, sambil menambah kata, Rodger pernah dilihat berjumpa dengan pelbagai pakar penjagaan kesihatan, dan ‘sangat jelas dia mengalami gangguan mental’.
Brown berkata, pihaknya telah me­nerima tiga panggilan mengenai Rod­ger sebelum pembunuhan itu berlaku termasuk satu insiden selepas sebuah keluarga meminta polis memeriksa kebajikan pemuda tersebut pada bulan lalu, namun polis mendapati suspek seorang yang berbudi bahasa lalu membebaskannya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140526/lu_04/Lelaki-bunuh-6-orang-gara-gara-cinta-ditolak#ixzz32lnkVgz6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment