Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Ketum perlu diletak bawah Akta Dadah Berbahaya


KOTA BHARU 11 Mei - Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menggesa kerajaan meletakkan penyalahgunaan daun ketum sebagai satu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya.
Timbalan Yang Dipertua Pemadam, Tan Sri Mohd. Najib Abdul Aziz berkata, hukuman yang lebih tegas juga perlu dikenakan terhadap individu terbabit kerana gejala tersebut semakin serius.
“Undang-undang berkenaan daun ketum sudah ada tetapi diletakkan di bawah Akta Racun.
“Jadi undang-undang itu tidak tegas dalam usaha kita untuk membanterasnya, ia perlu digerakkan dari sekarang dengan meletakkannya di bawah Akta Dadah Berbahaya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Membanteras Dadah Negara Islam Peringkat Zon Pantai Timur, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Yang Dipertua Pemadam Malaysia, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang juga Pengerusi Pemadam Kelantan dan Pengerusi Pemadam Pahang, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.
Mohd. Najib memberitahu, sudah beberapa kali pihaknya menghantar memorandum kepada kerajaan supaya memasukkan penyalahgunaan daun ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya atau diwujudkan undang-undang khas terhadap aktiviti itu.
“Kita difahamkan Kerajaan Persekutuan telah pun merangka undang-undang berkenaan isu tersebut namun kita tidak tahu bila perkara tersebut akan dibawa ke Dewan Rakyat.
“Negeri-negeri pula harus mengeluarkan fatwa dengan mengatakan penggunaan daun ketum ini adalah haram," ujarnya.
Tambahnya, setakat ini, hanya Perlis yang telah menfatwakan penggunaan daun ketum adalah haram.
Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, pelbagai pendekatan telah diambil bagi membendung penagihan dadah di Pantai Timur memandangkan jumlah penagih di kawasan tersebut berada pada tahap yang membimbangkan.
“Kita turun ke sekolah-sekolah menengah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan jabatan pendidikan negeri untuk melakukan ujian air kencing supaya mereka berhati-hati selain memberi kesedaran kepada ibu bapa," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140512/je_07/Ketum-perlu-diletak-bawah-Akta-Dadah-Berbahaya#ixzz31RqDOwT9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment