Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

Kes pelajar sekolah edar dadah membimbangkan


MACHANG 9 Mei - Sindiket pengedaran dadah melibatkan pelajar sekolah di negeri semakin membimbangkan apabila lima kes dikesan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding hanya satu kes tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam tempoh tersebut, dua pelajar ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga lagi ditahan mengikut Seksyen 39A akta yang sama.
“Berdasarkan statistik, kes ber­kaitan dadah dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh negeri bagi tempoh empat bulan pertama menurun daripada 63 kes tahun lalu kepada 38 kes tahun ini.
“Bagaimanapun kita bimbang apabila bilangan pelajar sekolah yang terlibat dengan pengedaran dadah pula didapati semakin bertambah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Latihan Tahunan Kor Kadet Polis Kontinjen Kelantan melibatkan 600 pelajar di Jeram Linang, sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan negeri, Ahmad Razukee Zulkifli dan Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Supritendan Loo Lian Lay.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kebanyakan kes tersebut melibatkan pengedaran dadah jenis pil kuda manakala rata-rata suspek merupakan pelajar lelaki.
Katanya, berdasarkan risikan polis, sindiket pengedaran dadah berkenaan menggunakan khidmat pelajar sekolah kerana mahu membentuk dan mendidik mereka me­ngenali dadah lebih awal.
“Baru-baru ini kita telah menangkap pemuda lepasan sekolah berusia 18 tahun kerana didapati memiliki dan mengedar dadah. Tak kan dia tiba-tiba jadi pengedar dadah? Mestilah dia bermula sejak di bangku sekolah.
“Perkara ini membimbangkan dan kita perlu letak benteng supaya sindiket ini tidak terus mendekati pelajar sekolah. Itu sebabnya kita mewujudkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah-sekolah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140510/je_08/Kes-pelajar-sekolah-edar-dadah-membimbangkan#ixzz31GSkUbLu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment