Search This Blog

Saturday, May 31, 2014

Kes 2 suspek militan ke mahkamah tinggi


2014/05/31 - 05:19:27

Taiping: Mahkamah Majistret di sini, semalam memerintahkan kes dua lelaki yang didakwa mempromosi aktiviti keganasan dan kegiatan kumpulan militan di luar negara, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Majistret Eyu Ghim Siang, membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Amril Buang, supaya kes dua penganggur itu dipindahkan ke mahkamah tinggi di ibu negara.


Mahkamah bagaimanapun tidak menetapkan bila kes itu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 23 Mei lalu, Muhamad Armie Fatihah Mohd Hashim, 22, dituduh menggalakkan perlakuan keganasan dengan niat menggunakan satu tujuan ideologi yang boleh dianggap sebagai niat untuk mengugut orang awam, di Syria.

Dia didakwa menggalakkan perlakuan itu di Syria di Kampung Air Jernih, Ijok, dekat sini antara jam 10 pagi 4 April hingga 12.30 tengah hari 6 April lalu.

Tuduhan mengikut Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum dengan penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dituduh Sokong keganasan
Seorang lagi tertuduh, Mohammad Hafiz Zakri Suparyatnoh, 28, pula dituduh memberi sokongan kepada kumpulan pengganas yang dikenali sebagai The Islamic State Of Iraq and Syam (ISIS) di tempat, masa dan tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J kanun sama, membawa hukuman penjara seumur hidup atau tempoh maksimum 30 tahun atau denda. Jika sabit kesalahan, boleh dirampas mana-mana harta yang sudah digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.

Kedua-dua mengaku memahami pertuduhan masing-masing. Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya tertuduh manakala jaminan juga tidak ditawarkan.

No comments:

Post a Comment