Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Kerja pembinaan punca banjir kilat di Mekah


Sebahagian daripada kenderaan yang ditenggelami air, tersadai selepas banjir kilat melanda kota suci Mekah, Khamis lalu. - AGENSI
MEKAH 11 Mei - Banjir kilat yang berlaku di Mekah Khamis lalu, berpunca daripada kerja-kerja pembinaan di kota suci ini yang mewujudkan aliran baharu air sehingga mengakibatkan paras air naik mendadak.
Pengarah Urusan Projek Banjir Majlis Perbandaran Mekah, Ahmad Abdullah Al-Zaid berkata, projek pembinaan yang dijalankan mengakibatkan air mengalir dari beberapa lembah dan pergunungan berdekatan.
Katanya, hujan lebat turut menyebabkan paras air naik mendadak sekali gus menyaksikan banyak kenderaan serta premis-premis tenggelam dalam masa singkat.
"Sebanyak 50 peratus daripada purata taburan hujan tahunan di antara 80 hingga 100 milimeter dilaporkan turun dalam tempoh masa dua jam baru-baru ini," katanya dalam laporan portal berita arabnews.com.
Tambahnya, pengumpulan air dari beberapa lembah berdekatan dan kawasan pembinaan di pergunungan terdekat turut menyumbang kepada peningkatan kadar pengaliran air yang menyebabkan banjir.
"Kerja-kerja pembinaan di jalan Kementerian Pengangkutan ke Madinah mewujudkan aliran baharu banjir yang turut mengubah perjalanan pengaliran air. Gabenor Mekah telah mengarahkan sisa pembinaan dan air yang bertakung dialih serta dilencongkan segera," kata Al-Zaid.
Pegawai Perbandaran Mekah, Osama Al-Zaytouni, semalam berkata, pihak perbandaran telah bekerja siang dan malam untuk kerja pemulihan dan pembaikan sejak kelmarin.
"Kami telah mengarahkan seramai 3,920 kakitangan dibantu 140 jentera membersihkan jalan dan memulihkan semula pergerakan jalan raya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140512/lu_08/Kerja-pembinaan-punca-banjir-kilat-di-Mekah#ixzz31RpZ4zFv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment