Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Kera serang bayi dalam buaian

RAIHAM MOHD SANUSI
Kera serang bayi dalam buaian
Siti Najwa mendukung bayinya yang berbalut di bahagian dahi gara-gara digigit kumpulan kera liar yang menceroboh rumahnya. 
30 April 2014
KEMAMAN - “Dengan adanya perangkap ini saya harap kumpulan kera liar yang gigit dahi anak saya dapat ditangkap segera,” kata ibu bayi perempuan berusia 3 bulan, Nor Iman Adriana Zuhairi yang diserang kera liar dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Gelugor, Kerteh, Sabtu lalu.

Walaupun masih trauma dengan kejadian itu, Siti Najwa Muhammad, 21, sambil mendukung bayinya turut sama menyaksikan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memasang perangkap di belakang rumahnya kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Siti Najwa berkata, kejadian ngeri itu benar-benar membuatkan dirinya fobia dan sehingga kini masih terbayang kera liar berada di depan matanya setiap kali masuk ke bahagian dapur rumah.

“Selagi kera liar itu tak ditangkap, saya tak senang duduk tapi saya sedikit lega selepas perangkap dipasang kerana saya percaya lambat laun kera liar ini akan masuk jerat juga.

“Kalau tak dapat tangkap banyak ekor (kera liar), seekor pun sudah memadai… sekurang-kurangnya ia dapat kurangkan jumlah kera liar yang banyak berkeliaran sekitar kawasan ini,” katanya.


Terima 14 jahitan

Kata Siti Salwa, hatinya hiba setiap kali mendengar rengekan dan tangisan anaknya selepas peristiwa diserang haiwan liar itu.

Kumpulan kera liar tersebut menyerang bayinya ketika anak keduanya itu sedang nyenyak tidur dalam buaian di bahagian dapur rumah kira-kira jam 1 tengah hari, Sabtu lalu.

Ketika kejadian, Siti Najwa dan anak sulungnya, Nor Iman Batrisyah, 3, berada di dalam bilik tidur kerana sedang bersiap untuk menghadiri majlis perkahwinan sebelum dikejutkan dengan tangisan kuat dari arah dapur.

Ibu muda itu juga sempat melihat tiga ekor daripada kumpulan kera liar tersebut berada dalam buaian sebelum haiwan itu bertempiaran lari selepas mendengar jeritannya.

Berikutan kejadian itu, bayinya yang dirujuk di Hospital Kemaman menerima 14 jahitan selepas dahinya mengalami dua luka sepanjang lima sentimeter akibat digigit haiwan berkenaan.


Perhilitan ambil tindakan selamat

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Yusoff Shariff berkata, perangkap yang dipasang di belakang rumah mangsa akan dipantau kakitangan Perhilitan yang berkawal di kawasan itu untuk tempoh antara dua dan tiga hari.

“Memandangkan kawasan rumah di kampung ini sangat dekat antara satu sama lain, jadi kita sukar untuk menembak kera liar itu kerana khuatir ia boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk kampung yang lain. Jadi langkah terbaik adalah dengan pasang perangkap ini.

“Oleh itu kita harapkan kerjasama daripada penduduk kampung agar segera membuat laporan kepada pihak kita jika ternampak kumpulan kera liar berkenaan.

“Diharap penduduk kampung juga tidak membuang sampah terutama sisa makanan merata-rata kerana ia boleh mengundang kehadiran binatang ini. Elakkan juga daripada beri kera ini makanan dan jangan lakukan provokasi jika nampak kumpulan haiwan liar ini,” katanya.


Kes kedua serangan

Menurutnya, seramai tiga kakitangan Perhilitan akan mengawasi kawasan rumah mangsa dan pihaknya percaya kera liar yang menyerang bayi terbabit dapat ditangkap dalam tempoh seminggu.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pihaknya akan menembak kera liar berkenaan jika keadaan sesuai dan tidak mendatangkan risiko kepada nyawa atau keselamatan penduduk setempat.

“Kes serangan kera liar ini adalah kes kedua, sebelum ini berlaku Januari lalu di Setiu melibatkan mangsa dewasa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Kampung Gelugor, Wan Engah Wan Mokhtar berkata, beliau sangat berharap penduduk kampung dapat menyalurkan maklumat segera jika ternampak haiwan tersebut bagi memastikan ia dapat dijerat secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment