• Pasukan polis memeriksa mayat kanak-kanak di lokasi kejadian di Kuala Lumpur malam kelmarin.Pasukan polis memeriksa mayat kanak-kanak di lokasi kejadian di Kuala Lumpur malam kelmarin.
KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun 6 bulan mati dalam keadaan tragis apabila lehernya dipenggal hingga putus dalam kejadian  di tepi Sungai Klang, berhampiran Stesen Kereta Api Lama, Jalan Hishamuddin di sini, malam kelmarin.

Penyerangnya dipercayai menghentak kepala mangsa menggunakan seramik dan mengelar lehernya sehingga putus.

Sumber berkata, dua saksi kejadian melihat suspek mendukung mangsa sambil berjalan ke arah tempat kejadian.

“Ketika itu, kanak-kanak tersebut masih hidup dan tidak berbaju,” kata sumber itu.

Menurutnya, saksi kemudian melihat suspek menekap mangsa ke tanah sebelum memukul mangsa dengan seramik.

Selepas melihat kejadian itu, saksi terus menghubungi polis bantuan dekat tempat tersebut.

“Suspek terus terjun ke dalam sungai apabila menyedari kehadiran polis bantuan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 9 malam.

“Polis menemui seramik yang pecah dan sepasang selipar, dipercayai milik suspek,” katanya.

Menurutnya, kepala mangsa terputus dari badan dan tempurung  kepalanya juga pecah dipercayai akibat hentakan.

Kong Meng berkata, polis sedang giat memburu suspek dengan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurutnya, berdasarkan keterangan ibu mangsa yang berumur  32 tahun, dia melepak bersama beberapa orang rakannya di Plaza Kota Raya pada petang hari kejadian.

“Dia meminta rakannya menjaga mangsa dan sebaik keluar dari bilik air, ibu mangsa mendapati anaknya tidak bersama rakannya,” katanya.

Kong Meng berkata, ibu mangsa serta rakannya terus mencari kanak-kanak berkenaan di seluruh plaza itu namun gagal ditemui.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.