Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

Keluar tandas anak lesap



Kota Kinabalu: Tindakan seorang bapa meninggalkan kenderaan dipandunya tanpa mengunci pintu dan mematikan enjin membawa padah apabila anak bongsunya berusia tiga tahun dilarikan penjenayah di sebuah stesen minyak Kampung Air di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 6 pagi, Low Yee Shang, 31, terkedu apabila melihat pacuan empat roda Toyota Hilux diletakkan di luar setesen minyak selepas membuang air kecil hilang bersama anaknya Low Min You, 3, yang turut dilarikan.
“Saya tidak tahan untuk membuang air kecil dan berhenti di sebuah stesen minyak untuk melepaskan hajat.

“Ketika itu, saya melihat Min You sedang tidur di kerusi penumpang belakang dan tidak mahu mengejutkannya sebelum keluar dari kenderaan,” katanya ketika ditemui.
Foto
MIN You dilarikan penjenayah.

Menurutnya, susulan itu, dia hanya membiarkan enjin dalam keadaan hidup lalu bergegas ke tandas.

“Bagaimanapun sebaik selesai membuang air, saya bergegas ke kenderaan, tetapi terkejut mendapati ia sudah tiada,” katanya.

Bimbang berlaku perkara buruk selain risaukan keselamatan anak, katanya, dia menghubungi polis melaporkan insiden itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Sebaik menerima laporan, sepasukan polis melakukan rondaan dan berjaya mengesan Toyota Hilux milik mangsa ditinggalkan di Bukit Bendera berhampiran Menara Jam Atkinson, kira-kira jam 9.30 pagi (semalam) hari sama, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

“Bagaimanapun, kanak-kanak terbabit tidak ditemui dipercayai dilarikan suspek,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah mengedarkan foto Min You dan mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan di setiap laluan keluar selain pemantauan melalui udara dan laut.

“Setakat ini, polis masih menyiasat insiden ini mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik atau melarikan seseorang dengan tujuan mengurung secara sulit dan salah yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun.

“Difahamkan, kanak-kanak itu ketika kejadian memakai baju-T putih dan seluar pendek hijau. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 088-529 270/207 segera,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

No comments:

Post a Comment