Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

Kegiatan seludup diesel tumpas

WARTAWAN SINAR HARIAN
Kegiatan seludup diesel tumpas
Bot nelayan yang diubahsuai untuk menyeludup diesel berjaya ditahan Maritim 3 Lumut di perairan Perak. 
12 Mei 2014
LUMUT - Taktik dua lelaki warga Thailand untuk menyeludup diesel dengan mengubah suai bot nelayan berjaya dipatahkan apabila sepasukan anggota penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah, Maritim 3 Lumut berjaya membongkar kegiatan berkenaan, Jumaat lalu.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Abdul Razak Johan berkata, perkara itu disedari anggota Maritim yang menaiki sebuah bot laju apabila mengesan sebuah bot nelayan tempatan sedang bersauh dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika itu, pasukannya melakukan rondaan di perairan Perak lebih kurang 17 batu nautika dari Pulau Pangkor kira-kira jam 5.25 petang.

“Anggota penguatkuasaan Maritim melakukan pemeriksaan terhadap bot berkenaan dan mendapati tempat petak penyimpanan ikan diubahsuai.

“Bot itu juga didapati membawa lapan tangki minyak  mengandungi diesel dianggarkan sebanyak 30,000 liter,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bot tersebut membeli diesel dari sebuah kapal dagang di perairan antarabangsa dengan harga RM1.30 hingga RM1.40 seliter.

Pihaknya turut menahan seorang tekong serta awak-awak warga Thailand masing-masing berumur 32 dan 36 tahun yang bekerja di atas bot berkenaan tanpa permit.

“Kita juga mendapati lesen bot itu sudah tamat tempoh dan menurut tekong bot  tersebut mereka dibayar upah sebanyak RM100 setiap seorang bagi melakukan tugas berkenaan,” katanya.

Abdul Razak berkata, kes berkenaan  disiasat di bawah Seksyen 8 (b), Akta Perikanan 1985.

“Nelayan diminta menghubungi pihak Maritim jika ternampak sebarang aktiviti mencurigakan atau kes kecemasan di perairan Perak dengan menyalurkan maklumat menerusi talian 999 atau hotline Daerah Maritim 3 Lumut 05-6838737,” katanya.

No comments:

Post a Comment