Search This Blog

Friday, May 30, 2014

Kapten hilang kapal minyak meletup di Jepun


TOKYO 29 Mei - Seorang kapten kapal dilaporkan hilang selepas kapal tangki dinaikinya meletup dan mengakibatkan kebakaran besar di perairan barat Jepun, semalam.
Menurut Pengawal Pantai Jepun, beberapa buah kapal lain serta pesawat membantu usaha memadamkan kapal Shoko Maru seberat 998 tan yang terbakar di lokasi pengangkutan itu berlabuh kira-kira lima kilometer dari pelabuhan Himeji, di barat Jepun.
Pengawal pantai negara ini memaklumkan, seramai lapan orang berada dalam kapal itu ketika kejadian dan tujuh daripadanya berjaya diselamatkan dengan empat daripadanya melecur teruk.
Bagaimanapun, kapten kapal itu yang berusia 64 tahun masih hilang.
Pegawai syarikat milik kapal itu Syoho Shipping, Akihiro Komura berkata, Shoko Maru tidak membawa muatan ketika kemalangan berlaku.
"Saya dimaklumkan kebakaran bermula apabila seorang anak kapal cuba membuang cat menggunakan mesin pengikis. Tindakan itu menyebabkan letupan apabila percikan api dari mesin berkenaan mengenai sisa minyak," katanya.
Berita letupan kapal tangki minyak berkenaan yang terjadi kira-kira pukul 9.30 pagi waktu tempatan (8.30 pagi waktu Malaysia) turut menyebabkan perbincangan Perdana Menteri, Shinzo Abe di Parlimen terganggu.
"Di kawasan pantai Hyogo, sebuah kapal tangki minyak meletup dan terbakar," kata beliau di Parlimen.
Sehingga tengah hari, pasukan menyelamat terus menyembur air ke arah kapal bagi mengurangkan suhu kapal, menurut jurucakap pengawal pantai.
"Bahagian dalam kapal dipercayai mempunyai suhu tinggi. Walaupun api tidak kelihatan, masih terdapat kemungkinan kebakaran boleh berlaku semula.
"Kami juga masih mencari kapten kapal tangki minyak berkenaan," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140530/lu_04/Kapten-hilang-kapal-minyak-meletup-di-Jepun#ixzz339Nqm6ld
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment