Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Kanak-kanak maut dihempap pokok


SEORANG anggota bomba dan penyelamat memeriksa keadaan rumah dihempap pokok yang mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak lelaki dalam kejadian ribut di Perumahan Awam Taman Tasek Kamunting, Taiping, Perak, semalam. - Gambar Ihsan bomba
TAIPING 7 Mei - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas rumahnya runtuh akibat dihempap pokok Payung Indonesia yang tumbang dalam kejadian ribut di Perumahan Awam, Taman Tasek Kamunting di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.34 petang itu, mangsa, S. Lingiswaran, ditemui dalam keadaan terduduk tidak sedarkan diri di sebuah bilik yang terletak di bahagian hadapan rumah berkenaan.
Rawatan kecemasan yang diberikan terhadap anak sulung daripada dua beradik itu bagaimanapun gagal dan mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.20 petang dipercayai akibat sesak nafas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd. Taufiq Sattar berkata, ketika kejadian mangsa bersama lima anggota keluarga yang lain iaitu ibu, adik, ibu saudara dan dua nenek berada di dalam rumah berkenaan.
Katanya, dalam kejadian hujan dan disusuli ribut sejak pukul 3 petang itu, ahli keluarga mangsa sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah itu sebaik mendengar bunyi kuat yang datang dari arah belakang rumah mereka.
"Ketika ditemui, mangsa yang berada di atas katil tidak sedarkan diri dengan struktur rumah termasuk bingkai tingkap dan batang pokok berada di atas badannya.
"Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit bagi memotong batang pokok berkenaan sebelum membawa keluar mangsa yang terperangkap dalam runtuhan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Taufiq berkata, pokok tersebut berada kira-kira lima meter di belakang rumah mangsa dan tumbang menghala ke bahagian depan rumah itu.
Katanya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping bersama 13 anggota termasuk pegawai dikerahkan ke tempat kejadian.
"Ketika kejadian, berlaku hujan lebat diikuti ribut di kawasan Kamunting dan kita turut menerima lima laporan berkaitan pokok tumbang," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_07/Kanak-kanak-maut-dihempap-pokok#ixzz315zoPNc8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment