Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Jual DVD haram kerana keluarga

WARTAWAN SINAR HARIAN
Jual DVD haram kerana keluarga
Rosli (baju kuning) mengaku bersalah menjual DVD haram kerana terpaksa menanggung keluarga. 
1 Mei 2014
GEORGETOWN - Seorang lelaki memberitahu Mahkamah Majistret Georgetown di sini, dia terpaksa menjual cakera padat digital (DVD) haram kerana mempunyai adik beradik yang ramai.

Tertuduh yang merayu di kandang tertuduh mengaku dia mencari rezeki melalui hasil jualan DVD berkenaan.

Tertuduh, Rosli Mansor, 24, kemudiannya didenda mahkamah sebanyak RM2,000.

Mengikut fakta pertuduhan, Rosli dituduh pada 22 Januari 2014 cuba menjual barangan berkenaan di sebuah gerai pada jam 8 malam.

Dalam pendakwaannya, tertuduh dipercayai mempamerkan 32 keping DVD filem lucah pelbagai tajuk dengan niat menjual kepada orang awam berhadapan dengan sebuah kedai serbaneka.

Tertuduh kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Majistret, Umma Devi Loganathan dalam penghakimannya memutuskan tertuduh bersalah dan membuat rayuan.

Tertuduh memaklumkan dia sakit dan terpaksa menanggung adik beradik yang begitu ramai untuk bersekolah.

Menurutnya, dia mengaku menjual DVD berkenaan namun hanyalah untuk mencari pendapatan.

“Saya mohon supaya hukuman saya diringankan kerana saya sudah mengaku bersalah, saya pula sakit kencing manis,” katanya di dalam kandang tertuduh.

Tertuduh kemudiannya diperintahkan membayar denda sebanyak RM2,000 dan sekiranya tidak bayar akan dikenakan enam bulan penjara.

Sementara itu, barangan bukti yang juga DVD lucah akan dilupuskan oleh mahkamah.

No comments:

Post a Comment