Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

Jejak 2 lelaki misteri


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Kuala Lumpur: Polis mengesan dua lelaki ‘misteri’ yang bertanggungjawab melarikan jongkong emas seberat 25 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM3.4 juta dari dalam but kereta dua mangsa di Jalan Bandar, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, siasatan awal pihaknya mendapati dua lelaki berusia 20-an berkemungkinan terbabit dalam kehilangan jongkong emas itu.

“Berdasarkan maklumat daripada saksi kejadian, dua lelaki dilihat melarikan diri bersama beg berkenaan sejurus kejadian.

“Bagaimanapun identiti ataupun maklumat lanjut mengenai perkara berkenaan masih dalam siasatan.



Malah, kesahihannya (maklumat) juga disiasat dan diteliti pegawai penyiasat,” katanya.

Menurutnya, petunjuk terbaru itu mengenai kejadian berkenaan diyakini mampu mengesan dalang sebenar kes jenayah itu.

Katanya, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan, namun pihaknya sudah merekodkan percakapan beberapa individu termasuk dua pekerja, saksi kejadian dan pemilik syarikat.

Semalam Harian Metro melaporkan kehilangan jongkong emas bernilai RM3.4 juta yang diletakkan dalam but kereta ketika dua pekerja syarikat pelaburan emas leka menukar tayar kereta yang dipercayai sengaja ditoreh penjenayah.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, penjenayah dipercayai mengekori mangsa sebelum melarikan jongkong emas berkenaan.

Sebelum kejadian, dua pekerja terbabit mengeluarkan jongkong emas itu dari sebuah bank di ibu kota dengan menaiki kereta itu.

Zainuddin berkata, mangsa mahu membawa emas berkenaan ke Shah Alam bagi urusan perniagaan bagaimanapun terpaksa memberhentikan kereta di Jalan Bandar berikutan tayar pancit.

“Selepas menukar tayar, dua pekerja itu terkejut apabila mendapati beg yang mengandungi jongkong emas itu lesap dipercayai dilarikan dua suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

No comments:

Post a Comment