Search This Blog

Saturday, May 31, 2014

Indonesia uji produk Cadbury


SEBAHAGIAN ahli Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim (Mawar), membuang coklat Cadbury ke dalam tong sampah sebagai membantah pencemaran DNA babi yang dikesan dalam dua produk syarikat itu di Kuala Lumpur, kelmarin. - AGENSI
JAKARTA 30 Mei - Pihak berkuasa Indonesia dilapor menjalankan ujian ke atas coklat jenama Cadbury selepas dua daripada produk terbabit dikesan mempunyai asid deoksiribonukliek (DNA) babi oleh kerajaan Malaysia, baru-baru ini.
Pengarah Agensi Pemantauan Makanan dan Dadah Indonesia, Roy Alexander Sparingga berkata, sebanyak 10 produk Cadbury yang mempunyai logo halal, diuji sama ada mengandungi DNA babi dan keputusan ujian hanya akan diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi.
Bagaimanapun katanya, semua produk yang diuji tidak melibatkan dua jenis coklat Cadbury, Cadbury Milk Roasted Almond dan Cadbury Milk Hazel Nut yang ditarik balik penjualannya di Malaysia selepas dikesan mengandungi bahan tidak halal itu.
Kontroversi pencemaran DNA babi yang haram dimakan umat Islam tersebut mencetuskan kemarahan banyak pertubuhan Islam di Malaysia yang menggesa agar semua produk keluaran syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. (Cadbury) dan syarikat induk, Mondelez International Inc. (Mondelez) diboikot.
Kebimbangan terhadap pelanggaran piawaian halal yang ditetapkan pihak berkuasa sekali gus dilihat boleh menjejaskan jualan syarikat Mondelez di pasaran Islam terutamanya di Indonesia yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia selain Asia Barat.
Sementara itu di Kuala Lumpur, pihak berkuasa Malaysia cuba meredakan kemarahan orang ramai terhadap Cadbury dengan menyatakan kes itu masih disiasat sama ada pencemaran dilakukan atas kecuaian syarikat terbabit.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha dalam kenyataannya berkata, orang ramai perlu sedar bahawa tindakan tidak boleh diambil ke atas Cadbury selagi siasatan masih belum selesai.
Jelasnya, tiada bukti kukuh setakat ini yang menunjukkan sama ada pencemaran itu berlaku disebabkan kecuaian di kilang atau faktor luaran.
"Kes yang berlaku ke atas Cadbury umpama suspek yang ditahan dan ditempatkan di dalam pusat tahanan.
"Mereka (Cadbury) masih belum didapati bersalah dan operasi mereka hanya digantung sahaja buat masa ini," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140531/lu_01/Indonesia-uji-produk-Cadbury#ixzz33F0qO8fo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment