Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

Impian sesat Abubakar


Keganasan kumpulan Boko Haram yang dipimpin ketuanya, Abubakar Muhammad Shekau kini dilapor semakin kejam sehingga beberapa sekutunya enggan lagi bekerjasama.

Abubakar menjadi dalang utama gerakan militan menculik lebih 200 kanak-kanak perempuan dari sekolah di Nigeria dan mengugut untuk menjual atau mengahwinkan mereka.



Dia dilahirkan di Yobe - kawasan sempadan Nigeria - dan mendapat pendidikan agama di sekolah pondok di Borno, tempat Boko Haram diasaskan lebih sedekad lalu oleh Mohammed Yusuf.

Selepas bertemu dengan Mohammed Yusuf, Abubakar menyertai gerakan itu dan membentuk gerakan radikal dianggotai ramai anak muda yang yakin pendidikan Barat menjadi punca kepada banyak masalah di Nigeria.

Pendidikan Barat juga, bagi mereka, menyebabkan rasuah dan kemiskinan berpanjangan di negara itu.

Ideologi dipegang Abubakar itu menjadi perhatian dunia minggu ini selepas dia mengeluarkan rakaman video berhubung penculikan besar-besaran di Chibok, wilayah Borno pada 14 April lalu.

Pertubuhan Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) berkata, di bawah pimpinan Abubakar, Boko Haram menjadi lebih kejam dan ganas.


“Ia mungkin mendorong Ansaru menghentikan kerjasama dengan gerakan itu,” kata badan pemantau keganasan itu.

Ansaru adalah satu daripada sayap Boko Haram yang bertanggungjawab menculik warga asing dan memuat naik tindakan mereka di Internet.

ICG berkata, kumpulan itu menjauhkan diri daripada Boko Haram kerana tidak bersetuju dengan pembunuhan sewenang-wenangnya.

“Pada masa sama kepemimpinan Abubakar didakwa lemah dari segi taktikal,” lapornya.

Ketika Boko Haram dipimpin Mohamed Yusuf, pertubuhan itu dilihat komited menguatkuasakan undang-undang syariah di wilayah utara Nigeria.

Namun ideologi itu “dikebumikan” Abubakar dengan serangan berulang kali ke atas orang awam yang tidak bersalah termasuk penculikan dan penyembelihan pelajar ketika tidur.

Malah sebelum kematian Mohamed Yusuf dalam operasi polis pada 2009, Abubakar menuduhnya terlalu berlembut.


Setahun selepas mengambil alih pimpinan Boko Haram, dia membawa gerakan itu melalui haluan lebih radikal.

Serangan besar-besaran di Abuja pada 2012 dan pengeboman maut di Ibu Pejabat PBB menimbulkan kebimbangan Boko Haram mungkin menerima latihan militan di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

No comments:

Post a Comment