Search This Blog

Saturday, May 31, 2014

Ibu mangsa rogol dibelasah


Lucknow: Polis di utara India menangkap tiga lelaki kerana menyerang ibu seorang mangsa rogol selepas dia enggan menarik balik laporan polis.

Kejadian berlaku ketika polis menyiasat kes rogol beramai-ramai di tempat lain yang menyebabkan dua gadis mati.

Menurut laporan, anak mangsa yang berusia belasan tahun dirogol 11 Mei lalu.



Seorang lelaki ditangkap selepas wanita itu membuat laporan polis.

Jurucakap polis di bandar Etawah, Uttar Pradesh, Dinesh Kumar berkata, bapa, adik dan seorang sepupu lelaki itu kemudian memukul wanita berkenaan dan mendesak dia menarik balik tuduhan itu.

Wanita berkenaan kini tenat di sebuah hospital selepas mengalami patah tulang dan kecederaan dalaman.

Dalam kejadian lain, dua sepupu berusia 14 dan 15 tahun dirogol dan dibunuh oleh penyerang yang kemudian menggantung mayat kedua-dua mangsa pada pokok mangga di Kampung Katra, juga di Uttar Pradesh.

Penduduk kampung yang berang kerana polis tidak berusaha mencari gadis berkenaan selepas dilapor hilang, mengadakan bantahan secara senyap dengan tidak membenarkan mayat kedua-dua mangsa diturunkan dari pokok sebaik mereka ditemui.

Mereka hanya membenarkan pihak berkuasa berbuat demikian selepas tangkapan pertama dilakukan.

Setakat ini, dua anggota polis dan dua penduduk kampung ditangkap.

Tiga lagi suspek masih diburu.

Kedua-dua mangsa itu diperkosa ketika ke padang berhampiran untuk membuang air besar kerana tidak ada tandas di rumah mereka.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

No comments:

Post a Comment