Search This Blog

Friday, May 16, 2014

Ibu bapa budak hilang ditahan bantu siasatan


2014/05/16 - 07:25:03
Kota Kinabalu: Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan kehilangan anak mereka berusia tiga tahun yang dilarikan bersama pacuan empat roda milik pasangan itu di Kampung Air di sini, Jumaat lalu.

Pasangan berusia 31 tahun itu ditahan ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, jam 9 malam kelmarin.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata pasangan itu ditahan selepas memberi keterangan bercanggah ketika polis merakam kenyataan berhubung kehilangan anak mereka, Low Ming You.

Mereka direman tiga hari bagi membantu siasatan. Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan kanak-kanak itu belum ditemui, katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi Jumaat lalu, Ming You ditinggalkan sendirian dalam pacuan empat roda yang tidak berkunci serta enjin dibiarkan hidup berhampiran stesen minyak di Kampung Air oleh bapanya yang pergi ke tandas.

Sebaik bapanya keluar dari tandas, kenderaan itu didapati hilang bersama Ming You.

Polis kemudian menemui pacuan empat roda itu dalam keadaan berkunci di kawasan Menara Jam Atkinson, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian sekitar jam 9.30 pagi.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu tiada dalam pacuan empat roda berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, sebelum ini dilaporkan berkata, polis akan menyiasat aspek kecuaian dalam kes kehilangan kanak-kanak itu.

No comments:

Post a Comment