Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Ibu, 2 anak rentung rumah terbakar



ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran di Tabuan Hulu yang meragut tiga nyawa di Kuching, semalam.
KUCHING 7 Mei - Seorang suri rumah bersama dua anak pe­rempuannya yang berusia tiga dan lima tahun maut dalam kebakaran membabitkan sembilan buah rumah di Kampung Tabuan Hulu di sini hari ini.
Mayat Anisa Ramblee, 26, serta dua anaknya Siti Nordiana Mohd. Hazmi, 3, dan Siti Norhaza Mohd. Hazmi, 5, ditemui rentung dalam kebakaran yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.20 pagi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mayat tiga beranak itu ditemui oleh anggota bomba yang berjaya memadam kebakaran tersebut.
"Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui dalam sebuah bilik tidur dan siasatan awal pihak bomba percaya rumah keluarga itu merupakan punca kebakaran bermula," kata­nya ketika dihubungi di sini hari ini.
Roslan berkata, mayat tiga ber­anak itu sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii ketika ditemui di lokasi kejadian memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 10.29 pagi.
Katanya, seramai 40 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Padungan dan Batu Lintang termasuk Unit Bermotor Bomba segera dihantar ke tempat kerja untuk operasi menyelamat dan me­madamkan kebakaran.
"Pihak bomba yang tiba dalam tempoh lima minit selepas mendapat panggilan berjaya mengawal api daripada terus merebak pada pukul 11.09 pagi.
"Operasi memadam api menghadapi masalah akibat tekanan air rendah dan hanya ada satu pili bomba terdapat di situ," katanya.
Ling Hi memberitahu, selain tiga mangsa yang ditemui rentung, terdapat dua lagi kanak-kanak perempuan dan seorang anggota bomba cedera dalam kejadian itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_01/Ibu-2-anak-rentung-rumah-terbakar#ixzz314SxoWpK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment