Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Hat Yai dibom, pejabat PM bergegar


Keadaan di sekitar jalan utama di Hat Yai, malam tadi lengang selepas berlaku berbelas letupan bom yang mengorbankan dua orang manakala sembilan cedera. - AGENSI
HAT YAI 11 Mei - Sekurang-kurangnya dua maut manakala sembilan lagi cedera, apabila Selatan Thailand digegarkan dengan berbelas letupan bom, malam ini.
Setakat ini belum dapat dipastikan jika terdapat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam keganasan terbaharu itu.
Menurut sumber tempatan kepada agensi berita Bernama, kejadian bermula pada 7.30 malam waktu tempatan apabila empat bom meletup di Sungai Golok.
Sementara itu, tiga letupan bom dilaporkan berlaku di Sungai Padi, selain sebuah sekolah serta bengkel membaiki motosikal dibakar.
Tiga lagi letupan menggegarkan Pekan Takbai mengakibatkan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, manakala beberapa lagi cedera.
Di Wilayah Yala, lima bom diletupkan dengan menyasarkan tiang elektrik menyebabkan bekalan elektrik ke beberapa kawasan terputus, sementara tiga letupan bom dilaporkan berlaku di daerah Yaha dan dua lagi di daerah Thanto.
Kejadian tembak menembak serta membakar tayar turut dilaporkan berlaku di daerah Benang Setar dan Krong Pinang.
Sementara itu, Reuters pula melaporkan dua penunjuk perasaan antikerajaan cedera dalam satu kejadian letupan di bahagian luar pejabat Perdana Menteri Thailand yang terletak dalam kawasan Bangunan Kerajaan, di sini malam semalam.
Menurut laporan polis hari ini, mangsa hanya cedera ringan namun pihak berkuasa masih tidak dapat mengesahkan letupan berpunca daripada bom tangan.
Media-media tempatan pula melaporkan, seorang penyerang yang tidak dikenali melemparkan sebutir bom tangan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan di luar Bangunan Kerajaan tengah malam, semalam.
Pejabat Perdana Menteri bagai­manapun telah dikosongkan sejak beberapa minggu lalu.
Insiden itu berlaku ketika kerajaan sementara yang setia kepada bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra cuba mengekalkan kuasanya sehingga pilihan raya baharu diadakan pada 20 Julai ini.
Dalam perkembangan terbaharu hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI), Tarit Pengdit memberi amaran kepada rakyat negara ini agar tidak menyertai tunjuk perasaan antikerajaan bagi mengelakkan sebarang keganasan daripada tercetus.
“Kami memberi amaran kepada semua penduduk supaya menjauhi kawasan bantahan," katanya kepada pemberita.
Minggu lalu, Mahkamah Perlembagaan menyingkirkan Yingluck sebagai Perdana Menteri Thailand kerana salah guna kuasa dan sehari kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional (NACC) menyatakan beliau boleh berdepan tuduhan rasuah kerana cuai mengendalikan skim pembelian beras kerajaan.
Sejak itu, berpuluh-puluh ribu penyokong kerajaan atau pergerakan Baju Merah, membanjiri Bangkok bagi mengutuk keputusan Mahkamah Perlembagaan sebagai ‘rampasan kuasa’ serta memberi amaran krisis mungkin berlaku sekiranya kerajaan sementara yang ditadbir Parti Pheu Thai disingkirkan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140512/lu_06/Hat-Yai-dibom-pejabat-PM-bergegar#ixzz31SCmNQgp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment