Search This Blog

Monday, May 26, 2014

Guru wanita nekad kejar dua penyamun


DUNGUN 25 Mei - Seorang guru wanita bertindak berani apabila mengejar dua penyamun bermotosikal sejauh satu kilometer dengan keretanya sebelum merempuh mereka sehingga terjatuh di Jalan Lapangan Terbang, dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri.
Sebelum kejadian, mangsa berusia 36 tahun yang enggan dikenali memberitahu, dia keluar membawa seorang anaknya berusia empat tahun yang demam ke sebuah klinik di Kuala Dungun sambil ditemani dua lagi anaknya, kira-kira pukul 4 petang.
“Saya tinggalkan dua lagi anak berusia tujuh dan 11 tahun di dalam rumah dan sejam selepas itu, saya pulang dan terkejut apabila mendapati pintu pagar terbuka dan sebuah motosikal berada di dalam garaj," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dia kemudian bergegas masuk ke dalam rumah dan terdengar suara kedua-dua anaknya bercakap dengan 'seseorang' sebelum tiba-tiba seorang daripada suspek menerpa ke arahnya sambil meletakkan sebilah parang di lehernya.
Katanya, seorang lagi suspek kemudian menggeledah di dalam rumah seterusnya melarikan wang tunai berjumlah RM1,300, dua buah komputer riba, alat permainan dan dua utas jam tangan yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM12,000.
“Mereka kemudian melarikan diri. Saya kemudian mengejar dengan kereta seterusnya melanggar mereka. Mereka yang terjatuh cuba menyerang tetapi apabila saya mengundurkan kereta untuk merempuh sekali lagi, kedua-duanya melarikan diri," katanya sambil memberitahu, suaminya semasa kejadian bertugas di luar negara.
Kedua-dua suspek kemudian difahamkan memecah masuk sebuah lagi rumah terletak berdekatan yang tidak berpenghuni.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan giat memburu suspek.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140526/je_04/Guru-wanita-nekad-kejar-dua-penyamun#ixzz32lqGCZVG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment