Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

Geng OXY kembali mengganas?


Oleh Mohd Rizal Abdullah
Sentul: Polis masih menyiasat kemungkinan kumpulan penjenayah licik dikenali Geng Oxy kembali mengganas dengan menjadikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebagai sasaran kegiatan.

Kumpulan penjenayah ini dikesan gemar menggunakan gas Oxy Acetylene untuk memecah masuk premis atau memotong pintu besi mesin ATM bagi mendapatkan wang di dalamnya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pihaknya masih memburu kumpulan suspek yang cuba memecahkan sebuah mesin ATM di sebuah bank di Bandar Baru Sentul, kelmarin.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan dan membandingkan kes itu dengan beberapa jenayah dengan modus operandi sama sebelum ini.



“Setakat ini tiada lagi perkembangan kes itu namun polis masih meneruskan siasatan.

Kami percaya ia dilakukan penjenayah mahir,” katanya.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi kelmarin, empat lelaki nekad memecahkan mesin ATM dengan menggunakan alat pemotong oxy sebelum melarikan diri dengan satu bekas wang di dalam mesin ATM itu.

Bagaimanapun, bank mengesahkan suspek hanya melarikan bekas kosong tanpa wang.

Dalam kejadian sama Ogos tahun lalu, seorang lelaki dipercayai ahli Geng Oxy turut membakar mesin ATM milik bank di Jalan Klang Lama, di sini.

Suspek bagaimanapun melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Waja selepas sistem penggera keselamatan dipasang di premis itu berbunyi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

No comments:

Post a Comment