Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Gempa bumi di Thailand, seorang warga tua maut


Seorang wanita hanya mampu melihat rumahnya yang musnah akibat gempa bumi berukuran 6.0 skala Ritcher di wilayah Chiang Rai, utara Thailand, kelmarin. - AGENSI
BANGKOK 6 Mei - Seorang wanita warga tua maut, manakala 23 orang lagi cedera dalam kejadian gempa bumi yang melanda utara Thailand, semalam.
Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana berkata, wanita berusia 83 tahun itu dilaporkan terkorban akibat dihempap dinding rumahnya selepas gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Ritcher melanda utara negara ini.
Gempa bumi kuat itu berlaku pada kedalaman 7.4 kilometer dan berpusat di daerah Phan dalam wilayah Chiang Rai yang turut dirasai sejauh beratus-ratus kilometer di selatan Bangkok dan Yangon, Myanmar.
"Sejak petang Isnin, enam gegaran berlaku pada kadar magnitud antara 5.0 dan 5.9 pada skala Ritcher, manakala gegaran terakhir dirasai pagi ini," kata wakil Jabatan Meteorologi Thailand, Burin Wechbunthung.
Dalam pada itu, penduduk berkata, mereka menyaksikan dinding bangunan merekah dan jalan raya rosak akibat gempa bumi, di samping bekalan elektrik terputus selama beberapa jam di Phan.
Daearah berkenaan merupakan kawasan pergunungan terpencil berdekatan sempadan Myanmar dan Laos yang terkenal dengan kehadiran pelancong asing.
Gempa bumi turut dirasai di hub pelancongan, Chiang Mai sejauh 160 kilometer dari Chiang Rai serta Bangkok yang terletak 800 kilometer di selatan yang menyebabkan bangunan-bangunan bergegar selama beberapa saat.
Gempa bumi kuat jarang berlaku di Thailand, namun gegaran sering terjadi di utara negara berkenaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140507/lu_02/Gempa-bumi-di-Thailand-seorang-warga-tua-maut#ixzz315s5Baw2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment