Search This Blog

Friday, May 30, 2014

Dua warga Columbia didakwa pecah rumah


Milton Wilfredo (kanan) dan Oscar Mauricio Buitrago (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan semalam atas empat pertuduhan, termasuk melakukan pecah rumah.
RASAH 29 Mei - Dua lelaki warga Columbia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk melakukan pecah rumah, tiada dokumen perjalanan yang sah serta mengambil dadah.
Milton Wilfredo, 40, dan Oscar Mauricio Buitrago, 32, masing-masing mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua lelaki itu didakwa memiliki beberapa peralatan memecah rumah tanpa alasan sah di Taman Bukit Kepayang, kira-kira pukul 7.30 petang, 2 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 28(I)(ii) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Kedua-duanya turut dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama kerana didakwa gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Jika disabit kesalahan, kedua-dua lelaki Amerika Latin itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sehingga enam sebatan.
Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa menggunakan dadah jenis `THC' (ganja) di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, kira-kira pukul 12.15 tengah malam, 3 Mei lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Wilfredo turut berhadapan tuduhan melakukan pecah rumah dan mencuri set pemain cakera video digital (DVD), tilam toto dan minuman keras di sebuah kediaman di Taman Punca Emas, Rahang di sini pada pukul 12.35 tengah hari, 3 November 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.
Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menetapkan sebutan semula kes pada 13 Jun ini.
Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, Buitrago didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan niat memasuki rumah milik Pan Yew Cheong, 41, kira-kira pukul 7 petang, 2 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.
Majistret Siti Khairiah Abdul Razak turut menetapkan 13 Jun ini sebutan semula kes itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammad Zanudin dan Syamimi Farhana Muhammad A. Aziz manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140530/ma_03/Dua-warga-Columbia-didakwa-pecah-rumah#ixzz339POr31m
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment