Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

Dua syiling lama bukan diperbuat daripada emas


2014/05/10 - 04:26:00
Melaka Tengah: Dua syiling lama yang didakwa sebahagian daripada harta karun yang ditemui di Pulau Nangka di sini, bukan diperbuat daripada emas, sebaliknya campuran tembaga dan perak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Khamis Abas, semalam.


Terus kaji nilai sejarah, usia syiling

“Bagaimanapun, kajian mengenai nilai sejarah atau usia syiling berkenaan masih dilakukan dan dijangka diketahui hujung bulan ini,” katanya kepada BH.

Akhir bulan lalu, Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, yang dilantik untuk mencari harta karun berkenaan, menemui dua keping syiling dipercayai dari zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Sehubungan itu, Idris mengarahkan supaya dua syiling berkenaan dihantar ke makmal untuk dianalisis ketulenannya dan disiasat, sama ada ia berasal dari pulau itu atau sebaliknya.

Idris berkata, kerajaan negeri juga sudah menetapkan supaya syarikat yang menjalankan kerja mencari harta karun di Pulau Nangka menghentikan usaha mereka jika tiada bukti yang menunjukkan ada harta karun atau emas tertanam di pulau itu.

No comments:

Post a Comment