Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Dua kaki khianat kena cekup

MOHD FIRDAUS YON
Dua kaki khianat kena cekup
Noor Hashim melihat keadaan motosikal mangsa. 
8 Mei 2014
NUSAJAYA - Dua lelaki ditahan polis kurang daripada satu jam selepas melakukan perbuatan khianat dengan membakar tiga motosikal dalam kejadian di Bandar Selesa Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 36 tahun ditangkap berhampiran lokasi kejadian sejurus anggotanya menerima maklumat daripada orang awam.

“Polis menerima laporan seorang lelaki sekitar jam 6.15 pagi bahawa dia mendapati motosikalnya Suzuki RG Sport 115 telah terbakar bersama dua buah motosikal lain.

“Kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu disedari selepas terdengar jeritan meminta tolong daripada jirannya. Lelaki terbabit bersama beberapa orang penduduk berjaya memadam kebakaran berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, semalam.

Noor Hashim berkata, motosikal mangsa rosak teruk dengan kesan terbakar hampir separuh bahagian badan kenderaan itu.

Katanya, tiga laporan polis sudah dibuat berhubung kes terbabit melibatkan pemilik ketiga-tiga motosikal berkenaan.

“Dua lagi rakan suspek sedang dikesan dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis serta reman akan dipohon pada hari ini (semalam).

“Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api. Modus operasi suspek  adalah membakar motosikal mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment