Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

Dua cubaan seludup dadah didalangi warga Iran tumpas


Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik menunjukkan peralatan memproses dadah dan pelbagai jenis dadah yang didalangi warga Iran dalam sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - Bernama
KUALA LUMPUR 12 Mei - Polis berjaya menumpaskan dua cubaan menyeludup masuk dadah ke negara ini dan membongkar satu makmal memproses bahan terlarang itu dengan tertangkapnya tiga warga Iran dalam tiga serbuan berasingan di ibu negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 hingga 9 Mei lalu.
Dalam ketiga-tiga serbuan itu, pelbagai jenis dadah bernilai RM3.16 juta berjaya dirampas iaitu 3.3 kilogram syabu dan 25 kilogram serbuk putih serta 536,050 biji pil yang disyaki dadah. Turut dirampas ialah peralatan lengkap memproses dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, serbuan dengan kerjasama Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.
Beliau berkata, serbuan pertama iaitu pada 5 Mei lalu dilakukan di KLIA dan seorang suspek warga Iran yang membawa dua beg pakaian telah ditahan.
Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu membawa dua kilogram dadah jenis syabu yang disorokkan di ruangan khas di dalam beg pakaian tersebut.
“Pada 7 Mei pula, kami telah membuat pemantauan ke atas kargo di KLIA yang tiba dari Pakistan dan berjaya merampas enam karung guni mengandungi 536,050 pil pelbagai jenis yang disyaki dadah. Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Rashid memberitahu, bagi kes ketiga pada 9 Mei lalu, pihaknya telah menyerbu sebuah unit kondominium di Bukit Kerinchi di sini yang dipercayai menjadi makmal memproses dadah.
“Dalam serbuan itu kami telah menahan dua lelaki warganegara Iran serta menemui sebuah kotak yang mengandungi enam kepingan kaca berwarna hijau yang disyaki dadah syabu dan 25 kilogram serbuk putih yang dianggarkan bernilai RM3.16 juta serta peralatan lain untuk memproses dadah," katanya.
Menurutnya, hasil operasi itu, polis menyita wang tunai berjumlah RM13,800, AS$2,100 (RM6,790) dan riyal Iran 1,260,000 (RM159). Kesemua suspek yang berusia 23 hingga 42 tahun direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, ditanya sama ada pintu negara senang dibolosi menyebabkan sindiket ini menjadikan Malaysia sebagai sasaran, Noor Rashid menegaskan, perkara itu tidak benar memandangkan pihaknya bersama-sama agensi lain sentiasa memantau perkara tersebut.
“Polis akan terus membanteras kegiatan penyeludupan dadah ke negara ini dan memburu ahli-ahli sindiket yang terlibat," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140513/je_05/Dua-cubaan-seludup-dadah-didalangi-warga-Iran-tumpas#ixzz31Y9h1mTV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment