• Mohamed Shariff menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung ugutan diterimanya.Mohamed Shariff menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung ugutan diterimanya.

ALOR SETAR - Salah seorang Ahli Jawatankuasa Bertindak Anak-anak Kariah Masjid Tunku Abdul Rahman Putra Kuala Kedah menerima lebih 20 khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon berbaur ugutan kerana bertindak membongkar aktiviti sindiket poligami ekspres.

Pengerusinya, Mohamed Shariff Nawab berkata, dia mula menjadi mangsa ugutan sejak Disember tahun lalu setelah mengambil langkah mengumpul bukti berhubung sindiket terbabit bersama beberapa ahli jawatankuasa dan menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) untuk disiasat.

Menurutnya, bagaimanapun sejak membuat pendedahan di media beberapa bulan lalu ugutan yang diterimanya semakin kerap dari dua individu sama.

“Sepanjang tempoh lima bulan ini, saya menerima 23 SMS dan kali terakhir pada Jumaat lalu. Kandungan SMS yang dihantar bukan sahaja berunsurkan fitnah tetapi juga menyentuh peribadi hingga boleh mencemar maruah diri serta keluarga.

“Mereka juga turut bertindak menyebarkan poster yang tertera dengan kata-kata tohmahan serta fitnah hingga menjatuhkan air muka saya di kawasan pasar Kuala Kedah. Namun beberapa peniaga prihatin sudi membuang poster itu dari terus tersebar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohamed Shariff berkata, kesal dengan insiden berkenaan dia akan mengambil tindakan mahkamah terhadap individu terlibat untuk membela maruah diri yang tercemar.

“Saya sudah berbincang dengan peguam dan tindakan berkenaan bakal dibuat dalam masa terdekat.

“Sepatutnya individu itu perlu membuat laporan polis suruh siasat saya jika segala pembongkaran yang dilakukan bersama jawatankuasa kami tidak benar. Namun mereka bertindak sebaliknya cuba membuat serangan peribadi untuk menjatuhkan maruah saya,” katanya.

Menurutnya, laporan polis berhubung insiden ugutan itu sudah dibuat pada Jumaat lalu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, dia turut menggesa jawatankuasa masjid baru dilantik pada mesyuarat agung yang diadakan pada 1 November lalu hasil persetujuan anak kariah diberi kuasa untuk menjalankan tugas.

“Buat masa sekarang, jawatankuasa itu masih tidak berfungsi sepenuhnya kerana masih belum mendapat kebenaran daripada Pejabat Agama Kota Setar.

“Disebabkan itu, bendahari dan setiausaha jawatankuasa yang lama bertindak mengambil kesempatan untuk menggunakan sepenuhnya peluang campur tangan urusan pentadbiran masjid terutamanya dari segi pengeluaran wang. Mengikut peraturan tindakan mereka salah kerana jawatankuasa lama sudah terbubar dengan terbentuknya jawatankuasa baru,” katanya.

Pada 4 Mac 2014, Sinar Harian melaporkan, bagi merahsiakan perkahwinan kedua mereka daripada diketahui isteri pertama, segelintir individu dikesan menggunakan sindiket penjualan sijil nikah poligami yang menyerupai sijil yang dikeluarkan oleh Jaik.

Menurut laporan itu, proses akad nikah pasangan itu dilakukan tanpa melibatkan wali terdekat dari pihak pengantin perempuan.

Sindiket berkenaan juga dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu dengan hanya mengenakan bayaran sekurang-kurangnya RM3,000 dan dikatakan mendapat sambutan hangat daripada mereka yang mahu berpoligami secara rahsia.

Difahamkan, sindiket itu bijak memancing pasangan berkenaan dengan mempercepatkan pengeluaran sijil nikah poligami beberapa hari sebelum akad nikah berlangsung.

Susulan itu, Jaik turut mengambil tindakan menggantung tugas jurunikah terbabit sejak dua bulan lalu sehingga siasatan selesai.